Utama Berita Automotif Isu Tarif AS : Kerajaan tunggu penjelasan MITI

Isu Tarif AS : Kerajaan tunggu penjelasan MITI

8

Kerajaan tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan berhubung isu tarif yang dibangkitkan, sebaliknya memberi ruang kepada penelitian menyeluruh sebelum sebarang respons rasmi diumumkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penjelasan awal sudah diberikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan penelitian berhubung perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.

“Bila penjelasan teliti itu diberikan, baru kita akan respons. Buat masa ini MITI sedang teliti dan menyelaras isu berkenaan dengan Washington.

“Malah kita juga (berhubung) dengan rakan-rakan ASEAN yang lain dan lihat bagaimana tindakan boleh diambil,” katanya. 

Semalam, Johari berkata kerajaan sedang memantau rapi perkembangan di Amerika Syarikat (AS) susulan tarif import Presiden Donald Trump dibatalkan Mahkamah Agung.

Katanya, walaupun Malaysia sudah menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas dengan AS tahun lalu, kerajaan masih belum meratifikasi perjanjian itu.

Sabtu lalu dalam keputusan enam-tiga, Mahkamah Agung AS memutuskan Trump melampaui kuasanya dalam mengenakan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA). 

Susulan itu, Presiden AS itu kemudiannya menyatakan beliau akan mengenakan tarif seragam 10 peratus ke atas semua barangan import di bawah kuasa berasingan.

Malaysia dan AS menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas semasa kunjungan Trump ke Kuala Lumpur ketika Sidang Kemuncak ASEAN tahun lalu.

Perjanjian berkenaan mengekalkan tarif 19 peratus ke atas barangan Malaysia, namun produk tertentu menikmati tarif sifar di bawah senarai rakan dagang bersama.

MITI kini dalam proses menjalankan semakan dan analisis kos-manfaat terhadap perjanjian itu bagi melindungi kepentingan ekonomi dan kedaulatan Malaysia.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here