
CyberSecurity Malaysia (CSM), agensi di bawah Kementerian Digital melancarkan Makmal Forensik Kenderaan pertama di Malaysia sebagai usaha memperkukuh keupayaan forensik digital negara dalam penyiasatan insiden khususnya melibatkan kemalangan dan kes jenayah.
Dilancarkan oleh Menteri Digital Gobind Singh Deo, makmal itu juga dijangka menyokong siasatan jenayah oleh pihak berkuasa seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan yang menggunakan elemen kenderaan.
Gobind berkata penubuhan makmal itu selaras dengan keperluan untuk mengurus dan menganalisis data secara berkesan bagi membantu siasatan serta mengenalpasti punca sebenar sesuatu insiden.
“Kalau kita ada data, kita boleh menilai dan meneliti bagaimana sebenarnya berlaku insiden tersebut. Satu, kita dapat menyelesaikan masalan tersebut dari sudut siasatan.
“Kedua, kita juga dapat melihat apakah sebenarnya yang telah membawa kepada insiden tersebut, dan dengan itu kita dapat mengambil langkah seterusnya untuk membaiki kekurangan yang wujud yang membawa kepada kemalangan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, kenderaan moden pada masa kini bukan sahaja dilihat sebagai medium pengangkutan tetapi juga sebagai sumber data digital termasuk prestasi enjin, corak pemanduan, kedudukan sistem penentu kedudukan global (GPS), rakaman kamera dan sistem maklumat infotainmen.
“Data ini penting untuk penyelidikan industri automotif sebagai bukti digital siasatan kemalangan, jenayahdan keselamatan awam,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa CSM akan bertindak berdasarkan permintaan rasmi daripada agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi dapatan forensik kenderaan dan pada masa sama perlu memastikan setiap permintaan itu mematuhi peruntukan undang-undang khususnya melibatkan perlindungan data peribadi.
“Kita di Malaysia mempunyai undang-undang yang cukup jelas mengenai perlindungan data peribadi dan keselamatan siber.
“Dalam mengendalikan sebarang insiden, kita perlu memastikan bahawa setiap keperluan undang-undang dipatuhi sebelum data diberikan untuk tujuan siasatan. Inilah perkara yang kita tidak akan kompromi,” katanya.
Makmal berkenaan turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Makmal Forensik Kenderaan Pertama di Malaysia yang menonjolkan kepakaran CSM dalam bidang keselamatan siber dan forensik digital sekali gus mengukuhkan reputasi agensi itu dalam inovasi forensik automotif.