BYD Dolphin Surf cemerlang, kereta kompak raih 5 bintang Euro NCAP!

10

Model terbaharu BYD di Eropah, Dolphin Surf mencatatkan kejayaan cemerlang apabila memperoleh penarafan keselamatan lima bintang maksimum dalam ujian terbaru Euro NCAP, sebuah organisasi bebas yang terkenal dengan piawaian keselamatan kenderaan yang ketat.

Dolphin Surf, yang dinobatkan sebagai World Urban Car of the Year, menunjukkan prestasi cemerlang dalam semua empat kategori penilaian utama, membuktikan bahawa BYD tidak berkompromi terhadap aspek keselamatan meskipun pada model mereka yang paling mudah diakses di pasaran Eropah.

Dolphin Surf dikenali sebagai Atto 1 dan sudah dilancarkan di Indonesia pada harga yang cukup menarik. Di negara asal, kereta bandar dengan dimensi setara Perodua Myvi dikenali sebagai BYD Seagull.

Perlindungan Penumpang dan Ciri-ciri Keselamatan Lanjutan

Laporan ujian rasmi menyatakan bahawa Dolphin Surf menunjukkan perlindungan yang baik dalam ujian halangan sisi dan hentaman tiang sisi yang lebih teruk. Untuk bahagian penilaian ini, Dolphin Surf telah diberikan mata maksimum.

Dolphin Surf menerima skor 82% untuk perlindungan Penumpang Dewasa. Perlindungan Penumpang Kanak-kanak pula mendapat skor yang lebih tinggi iaitu 86%.

Selain itu, sistem keselamatan aktif kenderaan ini turut berfungsi dengan sangat baik.

Sistem Brek Kecemasan Autonomi (AEB) Dolphin Surf menunjukkan tindak balas yang berkesan terhadap penunggang basikal dan motosikal, menyumbang kepada skor 76% dalam kategori Pengguna Jalan Raya Berisiko.

Dalam kategori Bantuan Keselamatan, ia memperoleh 77% dengan Euro NCAP memuji keberkesanan AEB terhadap kenderaan lain, serta peranan teknologi pemantauan pemandu dan sistem bantuan lorong (lane-departure support system).

Pencapaian Bersejarah BYD

Pencapaian ini bukan asing buat BYD dan mengulangi pencapaian model-model lain.

Model-model BYD lain yang turut menerima penarafan lima bintang termasuk Dolphin, ATTO 3, SEAL, SEAL U dan SEAL U DM-i, TANG dan SEALION 7. 

Pencapaian ini mencerminkan komitmen BYD terhadap inovasi dan kualiti produk, di mana aspek keselamatan kekal sebagai keutamaan utama dalam pembangunan kenderaan mereka.

Dengan keputusan ini, Dolphin Surf dijangka akan terus menjadi pilihan utama yang memecahkan halangan kepada penggunaan kenderaan tenaga baharu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here