
Nissan Mexicana secara rasmi mengumumkan permulaan fasa pengeluaran Nissan Versa 2026 di Mexico. Di pasaran tempatan, Versa dikenali sebagai Almera.
Sejak pelancarannya di Mexico pada tahun 2011, Versa telah menjadi ikon mobiliti hasil daripada gabungan inovasi, kecekapan dan kebolehpercayaan.
Ciri-ciri tersebut meletakkan Versa sebagai kenderaan paling laris di peringkat kebangsaaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan angka jualan terkumpul melebihi 1,000,000 unit.
Versa 2026 membawakan evolusi dari segi reka bentuk, teknologi dan aspek keselamatan bagi mengukuhkan komitmen syarikat terhadap pembuatan tempatan.
Evolusi Reka Bentuk Luaran
Nissan Versa 2026 menampilkan perubahan visual yang sangat ketara pada bahagian wajah depan berbanding model terdahulu dan membawa gaya Murano baharu.
Rupa baharu ini kelihatan lebih premium dan kemas dengan elemen berikut:
- Nissan menggantikan bingkai krom tebal berbentuk V kepada rekaan jalur melintang berwarna hitam yang memenuhi hampir keseluruhan bahagian depan.
- Lampu utama kini tampil jauh lebih nipis dan tajam untuk imej yang lebih agresif dan lampu pada bahagian sisi gril.
- Bahagian bawah bampar kini kelihatan lebih ringkas dengan kemasan liang udara yang lebih kecil berbanding perumah lampu kabus besar pada model lama.
Rangkaian Kuasa dan Prestasi
Setakat ini, maklumat mengenai nadi penggerak untuk model 2026 belum diperincikan sepenuhnya.
Walau bagaimanapun, sebagai rujukan, Nissan Versa 2025 di pasaran Mexico menggunakan enjin 1.6 liter 4 silinder yang menghasilkan 119.6 ps dan 149 Nm tork.
Berbeza dengan Versa Mexico, Almera di Malaysia menggunakan enjin 1.0 liter turbo tiga silinder (HRA0) berkuasa 100 ps dan 152 Nm.

Pencapaian Hab Pembuatan Aguascalientes A1
Kilang Aguascalientes A1 yang menjadi pusat pengeluaran utama model ini turut meraikan kejayaan besar dengan penghasilan unit kenderaan yang ke 8,000,000.
Kompleks industri ini sangat penting bagi operasi global Nissan kerana kecekapan operasinya yang tinggi.
Kilang ini mempunyai tahap automasi yang tinggi dengan purata pengeluaran tahunan sebanyak 272,000 kenderaan.
Melalui gabungan usaha antara kilang A1 dan A2, sebuah kenderaan siap dapat dihasilkan pada setiap 46 saat.
Selain itu, fasiliti rangkaian kuasa yang menyokong ekosistem ini mampu menghasilkan 160 enjin sejam, atau bersamaan satu unit enjin setiap 23.5 saat.
Secara keseluruhan, fasiliti ini telah mengeluarkan lebih 17,000,000 enjin sepanjang 43 tahun beroperasi.
Produksi Nissan Versa 2026 melibatkan kerjasama lebih 4,800 kakitangan serta sokongan daripada 104 pembekal tempatan di Mexico.
Kredit gambar: Nissan































