Utama Berita Automotif Proton e.MAS terus catat jualan membanggakan sepanjang Februari

Proton e.MAS terus catat jualan membanggakan sepanjang Februari

4

PRO-NET – anak syarikat milik penuh PROTON – mengumumkan model Proton e.MAS catat jumlah jualan sebanyak 1,928 unit sepanjang Februari 2026, menjadikan jumlah setakat ini sebanyak 5,219 unit – termasuk jualan eksport.

Daripada jumlah ini, e.MAS 5 menyumbang sebanyak 1,562 unit pada bulan Februari, menunjukkan permintaan kekal tinggi daripada pengguna di Malaysia.

Lebih 5,000 Rakyat Malaysia Menjadikan e.MAS 5 EV Harian

Sehingga kini, penghantaran e.MAS 5 melepasi tanda aras 5,000 unit dalam tempoh hanya dua bulan selepas pelancarannya, pencapaian yang tiada tandingan bagi mana-mana jenama EV di Malaysia.

Model ini kekal sebagai model EV No.1 di Malaysia untuk bulan Februari, serta berada di tangga ke-5 dalam keseluruhan model, bersaing bersama kenderaan enjin petrol (ICE) yang sudah lama berada di pasaran.

Mengulas berkenaan pencapaian ini, Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, berkata, “Melepasi 5,000 penghantaran dalam hanya dua bulan dan mencatat lebih 3,500 tempahan untuk e.MAS 7 PHEV dalam tempoh sebulan setengah menunjukkan rakyat Malaysia menerima mobiliti elektrik dengan pantas.

“Keputusan ini mengesahkan strategi kami untuk menawarkan penyelesaian elektrifikasi yang praktikal dan berbaloi, disesuaikan khusus untuk pasaran tempatan.”

Beliau menambah, “Kami berasa rendah diri dengan sambutan menggalakkan ini, namun kami juga yakin bahawa fokus untuk membina ekosistem EV yang lengkap, daripada inovasi produk hingga sokongan pemilikan, adalah apa yang membezakan jenama e.MAS.

“Matlamat kami ialah menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah diakses, memberi keyakinan dan relevan untuk keluarga Malaysia dalam kehidupan seharian.”

Direka untuk Malaysia, jenama e.MAS mencerminkan keyakinan pengguna semakin bertambah, bukan sahaja terhadap kenderaan itu sendiri, tetapi juga terhadap ekosistem yang menyokong keseluruhan pengalaman pemilikan.

Daripada kemudahan pengecasan hingga sokongan selepas jualan yang menyeluruh serta integrasi digital, pelanggan semakin tertarik kepada pengalaman memiliki EV yang lancar dan meyakinkan.

Melangkah ke Dunia Mobiliti Hibrid

Sementara itu, e.MAS 7 PHEV yang baru diperkenalkan telah mencatat lebih 3,500 tempahan dalam tempoh sebulan setengah, menunjukkan penerimaan pasaran yang sangat positif.

Sebagai peningkatan praktikal berbanding kenderaan enjin petrol (ICE) konvensional, model ini menawarkan ciri keselamatan canggih dan teknologi hibrid pintar EM-i dalam julat harga yang kompetitif, memberikan pelanggan pengalaman beralih ke mobiliti elektrik sambil mengekalkan keselesaan dan fleksibiliti enjin tradisional.

Sehingga kini, e.MAS 7 PHEV tergolong antara model plug-in hibrid yang paling mampu milik di Malaysia, dengan harga atas jalan (tidak termasuk insurans) bermula dari RM105,800 untuk varian Prime, RM119,800 untuk varian Premium, dan RM125,800 untuk varian Premium Plus, termasuk rebat pelancaran sebanyak RM4,000 bagi 5,000 pelanggan terawal.

Walaupun teruja dengan permulaan yang memberangsangkan bagi 2026, Proton e.MAS terus menumpukan usaha untuk mengekalkan momentum dan menyokong perjalanan elektrifikasi yang lebih luas di Malaysia.

Layari laman web Proton e.MAS dan ikuti saluran media sosial rasmi kami: Facebook (Proton e.MAS Cars), Xiaohongshu (Proton e.MAS Cars), TikTok (@protonemasofficial), dan Instagram (@protonemasofficial) untuk maklumat lanjut mengenai Proton e.MAS 5.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here