Utama Berita Automotif PROTON X70 Sport Edition dilancar, terhad 600 unit

PROTON X70 Sport Edition dilancar, terhad 600 unit

3

Pengeluar kereta nasional PROTON secara rasmi melancarkan PROTON X70 Sport Edition (SE), edisi khas yang dipertingkatkan bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-C.

Direka untuk pemandu yang menghargai kehalusan dengan sentuhan visual lebih berani, edisi baharu ini menggabungkan keselesaan ikonik X70 dengan elemen reka bentuk sporty serta penambahbaikan dalaman yang dipilih secara teliti.

Harga atas jalan (OTR) tanpa insurans bagi PROTON X70 Sport Edition ialah RM115,300 di Semenanjung dan RM117,300 di Malaysia Timur.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Datuk Abdul Rashid Musa berkata, PROTON X70 Sport Edition dibangunkan berasaskan kekuatan model yang telah terbukti dan dipercayai rakyat Malaysia.

“Dengan pengenalan ini, kami menawarkan ekspresi lebih dinamik dan halus, khusus untuk pelanggan yang mahukan gaya lebih menonjol tanpa mengorbankan keselesaan dan teknologi yang menjadi identiti model ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sebagai antara model paling dikenali syarikat, PROTON X70 membina reputasi kukuh dalam menawarkan pengalaman pemanduan seimbang, menggabungkan keselesaan, teknologi pintar dan praktikaliti harian.

Berteraskan tema ‘Malaysia’s Most Refined SUV‘, X70 Sport Edition memperkukuh asas ini dengan interpretasi lebih ekspresif dan kontemporari, tanpa menjejaskan ciri-ciri utama yang menjadi kekuatan model ini.

PROTON X70 Sport Edition menampilkan 10 naik taraf eksklusif yang direka untuk meningkatkan daya tarikan visual serta kegunaan harian.

Dari segi luaran, model ini tampil lebih agresif dengan kit badan penuh merangkumi ‘skirt‘ hadapan, sisi dan belakang.

Ia turut dilengkapi rim aloi hitam 19 inci serta lencana ekslusif Sport Edition, yang memberikan identiti lebih tersendiri dalam barisan X70 serta memperkukuh kehadiran premium di jalan raya.

Di bahagian dalaman, sentuhan penambahbaikan yang teliti menyerlahkan lagi gaya premium.

Jahitan merah menghiasi stereng dan perehat tangan, manakala tempat duduk dilengkapi dengan jahitan merah bersama sulaman logo Sport Edition, mewujudkan suasana lebih eksklusif dan berorientasikan pemandu.

Dulang but turut disertakan bagi meningkatkan praktikaliti kegunaan harian.

PROTON X70 Sport Edition dikuasakan enjin i-GT 1.5TD 4-silinder, dipadankan dengan transmisi 7-kelajuan DCT, menawarkan gabungan seimbang antara responsif dan kecekapan.

Pengalaman pemanduan dipertingkatkan lagi dengan kepakaran Ride & Handling PROTON yang terkenal, memberikan kestabilan, keselesaan dan keyakinan dalam pelbagai keadaan jalan.

Di dalam kabin, model ini mengekalkan rangkaian teknologi pintar bagi meningkatkan kemudahan dan keterhubungan.

Unit infotainmen bersaiz 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar menjadi pusat pengalaman digital, dilengkapi sistem arahan suara ‘Hi PROTON‘ serta aplikasi PROTON Link 2.0 untuk integrasi digital yang lancar.

Keselamatan kekal sebagai keutamaan, dengan PROTON X70 Sport Edition dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi 13 ciri keselamatan.

Pakej ini meningkatkan kesedaran situasi dan sokongan pemanduan melalui fungsi seperti Intelligent Cruise Control (ICC), Lane Keep Assist (LKA) dan Autonomous Emergency Braking (AEB), memastikan keyakinan lebih tinggi dalam setiap perjalanan.

Secara keseluruhan, penambahbaikan produk pada PROTON X70 Sport Edition menawarkan nilai tambahan sebanyak RM6,000 kepada pelanggan dengan ketersediaan terhad kepada hanya 600 unit.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here