
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan nombor pendaftaran istimewa siri ‘P-P’ sempena sambutan ulang tahun ke-80 penubuhannya bermula 20 hingga 24 April ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata siri eksklusif itu diperkenalkan sebagai simbolik memperingati lapan dekad peranan dan sumbangan JPJ dalam pembangunan sistem pengangkutan negara.
“Orang ramai boleh membida nombor pendaftaran siri ‘P-P’ ini melalui kaedah bidaan dalam talian menerusi sistem JPJ eBid yang memastikan proses lebih telus, teratur dan efisien.
“Tempoh bidaan dibuka selama lima hari bermula Isnin, 20 April dan ditutup pada Jumaat, 24 April jam 10 malam.
“Sementara keputusan bidaan akan diumumkan dalam tempoh 24 jam iaitu pada 25 April 2026,” katanya.

Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida perlu didaftarkan pada kenderaan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh surat keputusan rasmi dikeluarkan.
Mengulas lanjut, nombor pendaftaran istimewa berkenaan bermaksud ‘P’ merujuk kepada Pulau Pinang manakala gabungan ‘P-P’ juga membawa maksud kepada fungsi JPJ dalam pengangkutan dan penguatkuasaan.
Sementara itu, bersempena sambutan ulang tahun ke-80 tersebut, JPJ turut menganjurkan Karnival Mega JPJ Madani yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 April di Stadium Batu Kawan, Seberang Perai Selatan.
Ujar beliau, hampir 50,000 nombor pendaftaran akan ditawarkan dengan diskaun 50 peratus kepada orang ramai pada 26 April di lokasi berkenaan.
“Antara yang ditawarkan termasuk nombor kategori menarik serendah RM250. Nombor-nombor ini merupakan baki yang tidak dibida sebelum ini dan hanya boleh dibeli secara fizikal di karnival berkenaan.
“Sehubungan itu, orang ramai dijemput menyertai bidaan nombor pendaftaran istimewa siri ‘P-P’ serta hadir ke Karnival Mega JPJ Madani bagi mendapatkan tawaran nombor pada harga istimewa,” katanya.




