Utama Berita Automotif Tular pandu secara berbahaya, Pemandu Mitsubishi Triton direman pagi ini

Tular pandu secara berbahaya, Pemandu Mitsubishi Triton direman pagi ini

35

Seorang lelaki yang mencetuskan kekecohan dengan memandu Mitsubishi Triton secara melulu dan berbahaya di Seberang Jaya, Bukit Mertajam, semalam, dijangka direman pagi ini.

Terdahulu, lelaki warga tempatan berusia 29 tahun itu ditahan orang awam di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) berhadapan sebuah stesen minyak di Seberang Jaya sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya ke lokasi sebaik menerima maklumat pada 10.05 pagi berkaitan kemalangan jalan raya melibatkan Mitsubishi Triton.

“Siasatan awal mendapati pemandu seorang lelaki dipercayai memandu kenderaan itu secara melulu dan berbahaya dari arah Sungai Dua menghala ke Pulau Pinang sehingga melanggar beberapa kenderaan di sepanjang laluan terbabit.

Suspek kemudiannya berjaya ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis. Pemeriksaan lanjut terhadap beg silang disandang pada badan suspek menemukan satu paket plastik lut sinar mengandungi methamphetamine seberat 0.75g dan 2.38 g ketamin.

“Hasil saringan urin yang dijalankan juga mendapati suspek positif dadah. Semakan mendapati dia mempunyai 15 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan dua rekod jenayah,” katanya. 

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pagi ini untuk proses permohonan reman bagi siasatan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis juga akan menjalankan siasatan berkaitan kemalangan yang dicetuskan suspek mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here