Utama Berita Automotif Malaysia jadi perintis pusat EV terpakai BYD Certified Asia Pasifik

Malaysia jadi perintis pusat EV terpakai BYD Certified Asia Pasifik

46

Malaysia dipilih sebagai negara perintis bagi pembukaan pusat pameran rasmi kenderaan elektrik (EV) terpakai BYD Certified yang pertama di rantau Asia Pasifik.

Inisiatif berkenaan dilancarkan BYD Sime Motors selaku pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, menawarkan laluan lebih diyakini kepada rakyat untuk memiliki EV pramilik yang disokong piawaian kualiti serta pemeriksaan menyeluruh.

Pusat sehenti pertama bagi program itu kini beroperasi secara rasmi di Sime Darby Auto Selection Glenmarie, sekali gus mencerminkan perkembangan positif pasaran EV tempatan.

Pemilihan Malaysia sebagai lokasi pertama program BYD Certified di rantau Asia Pasifik menunjukkan kepentingan strategik negara dalam rancangan pertumbuhan serantau jenama berkenaan.

Pada majlis pelancaran rasmi program itu, penyerahan pertama kepada pelanggan membabitkan sebuah model pramilik BYD ATTO 3 dilakukan, menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperluaskan penerimaan EV terpakai bersijil di Malaysia.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, inisiatif baharu itu adalah langkah penting untuk menjadikan pemilikan EV lebih mudah dicapai oleh rakyat Malaysia.

“Melalui BYD Certified, kami meluaskan pengalaman pemilikan BYD kepada khalayak yang lebih luas, sambil mengukuhkan komitmen kami untuk menyokong pelanggan sepanjang perjalanan EV mereka, bukan sekadar tertumpu kepada kenderaan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Bagi meningkatkan keyakinan pembeli, program BYD Certified disokong lima jaminan kualiti utama termasuk pemeriksaan profesional membabitkan 170 titik pemeriksaan.

Menerusi syarat pensijilan itu, hanya kenderaan berusia tidak melebihi empat tahun dengan jarak perbatuan di bawah 100,000 kilometer layak ditawarkan sebagai EV pramilik bersijil.

Pengarah Urusan BYD Sime Motors, Adeline Lew menjelaskan, program berkenaan dibangunkan berdasarkan piawaian kualiti ketat serta proses penentusahan telus bagi memastikan nilai pemilikan kepada pelanggan.

“Setiap BYD pramilik yang disahkan menjalani pemeriksaan komprehensif oleh juruteknik terlatih dan disokong oleh rekod sejarah kenderaan disahkan, penilaian kesihatan bateri serta perlindungan waranti,” katanya.

Selain itu, setiap kenderaan ditawarkan melalui program berkenaan dipastikan mempunyai sejarah bersih, termasuk bebas daripada kemalangan besar, kerosakan akibat kebakaran atau banjir, serta penipuan perubahan odometer.

Proses baik pulih pula dilakukan menggunakan alat ganti asli pengeluar dan mematuhi piawaian pembaikan yang ditetapkan.

Bagi mengurangkan kebimbangan pelanggan terhadap masalah tersembunyi, BYD Certified turut menawarkan Jaminan Beli Balik lima hari.

Melalui perlindungan itu, pelanggan layak menerima bayaran balik penuh pada harga pembelian asal sekiranya kerosakan struktur, kerosakan akibat banjir atau kebakaran yang tidak didedahkan dikenal pasti dalam tempoh lima hari selepas penghantaran.

Dalam usaha membantu pemilik mengekalkan nilai aset, program itu turut menyediakan platform tukar beli yang telus untuk pemilik BYD sedia ada yang mahu menaik taraf kenderaan mereka.

Ekosistem sehenti berkenaan membolehkan pelanggan mengurus proses pengesahan, pembelian, tukar beli, pembiayaan serta perlindungan waranti dalam satu persekitaran yang lebih mudah.

Pembeli EV pramilik melalui program itu juga menikmati sokongan selepas jualan menerusi rangkaian rasmi BYD di Malaysia, termasuk perkhidmatan Jualan, Servis dan Alat Ganti (3S) serta liputan waranti.

Bagi menjadikan pemilikan EV lebih mampu milik, pelanggan turut ditawarkan pakej pembiayaan istimewa dengan kadar faedah bermula serendah 2.03 peratus.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here