Utama Berita Automotif Lelaki maut dirempuh lori ketika pasang bendera parti

Lelaki maut dirempuh lori ketika pasang bendera parti

48

Seorang lelaki maut selepas dipercayai menjadi mangsa langgar lari ketika memasang bendera sebuah parti bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Jalan Kuala Sawah-Rantau berdekatan Kampung Belangkan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata dalam kejadian kira-kira 6.40 petang itu, mangsa berusia 34 tahun sedang berada di bahu kiri jalan menghala ke Rantau bagi menjalankan kerja-kerja memasang bendera.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sebuah lori yang nombor pendaftaran masih belum dikenal pasti dipercayai telah melanggar tiang papan tanda sebelum merempuh mangsa yang berada di bahu jalan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah pada bahagian muka serta kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu lori berkenaan dipercayai meninggalkan lokasi selepas kemalangan dan usaha mengesan kenderaan serta pemandu terbabit sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Yatim berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin menerusi talian 019-461 1794 atau 06-603 3222 (Bilik Gerakan IPD Seremban), atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang diteruskan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here