
Kembar Proton e.MAS 5, Geely E2 (atau nama lainnya Geely EX2, Galaxy Xingyuan dan Geome Xingyuan) muncul sebagai kenderaan paling laris di China pada tahun 2025.
Nampaknya, rekod itu bakal diteruskan untuk tahun 2026.
Biarpun angka jualan rasmi masih belum diumumkan, Geely E2 telah terjual sebanyak 244,000 sepanjang separuh pertama 2026 (H1 2026).
Angka itu cukup untuk mengalahkan Tesla Model Y (215 ribu), Xiaomi SU7 (182 ribu) dan Leapmotor A10 (171 ribu).
Apa yang membuatkan Geely E2 ini laris terjual ialah pakej yang ditawarkan secara standard dari kilang.
Hatchback lima pintu ini memiliki saiz yang lebih besar berbanding model pesaing seperti Renault 5, Peugeot 208 dan BYD Dolphin Surf.
Dengan panjang 4,135 mm dan jarak antara roda 2,650 mm, Geely E2 mampu menawarkan ruang kabin serta ruang kargo yang lebih luas.
Selain itu, harga juga turut memainkan peranan penting.
Di China, E2 dijual pada harga bermula dari 64,800 yuan (RM39 ribu), sedikit mahal jika dibandingkan dengan Wuling Hongguang Mini EV (44,800 yuan atau RM27 ribu), namun jauh lebih murah berbanding BYD Seagull berharga 69,900 yuan (RM42 ribu).
Sebagai perbandingan, Tesla Model Y dijual pada harga bermula dari 263,500 yuan (RM159 ribu).
E2 juga tidak mempunyai rekaan yang terlalu futuristik, namun dalam masa yang sama menawarkan ciri moden seperti skrin kluster 8.8 inci, skrin infohibur 14.6 inci, lampu LED, serta kawalan jelajah adaptif.
Di China, Geely E2 boleh didapati dalam pilihan motor elektrik 78 hp/130 Nm atau 114 hp/150 Nm dengan jarak pandu mencecah 480 km untuk sekali cas penuh.



































