
Menjelang pelancaran rasmi, Proton mempertontonkan e.MAS 5 yang berasaskan Geely Star Wish (juga dikenali sebagai Geome Xingyuan).
Proton e.Mas 5 dibina dari pelantar Global Intelligent New Energy Architecture (GEA) dan akan bersaing dengan BYD Dolphin.
Varian Premium Kereta elektrik (EV) itu dilengkapi dengan bateri 40.16kWh jenis CATL LFP. Pengecasan penuh menawarkan jarak pemanduan sejauh 325km (WLTP).
Manakala Prime pula didatangkan dengan kapasiti bateri 30.12 kWh dengan jarak perbatuan 250km (WLTP).
Ia kemudian dipadankan dengan motor tunggal “11-in-1” yang menggerakkan roda belakang (RWD) menerusi output 85kW dan tork 150Nm. Pecutan 0-150kmj dicapai dalam tempoh 3.9 saat.
EV itu juga menyokong pengecasan DC sehingga 71kW yang mana isian bateri 30 hingga 80 peratus hanya mengambil masa 21 minit di samping cas AC 6.6kW.
Keselesaan pemanduan diserahkan kepada topang MacPherson di depan dan jenis multi-link di belakang.
Ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuklah lampu depan dan kabus jenis LED, dua rona warna badan, pintu but berkuasa elektrik, kawalan lampu tinggi pintar, kluster instrumental LCD 8.8 inci, enam pembesar suara, penghidup tanpa kunci pintar, skrin hiburan 14.6 inci serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Demi ketenangan minda pemilik, Proton e.MAS 5 ditawarkan dengan enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik (ESC) dan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) serta kamera 360 darjah.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan segudang bantuan keselamatan termaju (ADAS) :
- Adaptive cruise control (ACC)
- Autonomous emergency braking (AEB)
- Forward collision warning (FCW)
- Lane departure warning (LDW)
- Blind spot detection (BSD)
- Lane change assist (LCA)
- Rear cross traffic alert (RCTA)
- Rear collision warning (RCW)
- Emergency brake assist (EBA)
- Front vehicle departure (FVD)
- Traffic sign recognition (TSR)
- Door opening warning (DOW)