
Honda merancang untuk menghentikan sementara pengeluaran bagi dua model bertransmisi manual 6-kelajuan, iaitu Honda Civic Si dan Acura Integra A-Spec Tech yang menggabungkan enjin 1.5 liter turbo 200 hp dengan transmisi 6-kelajuan.
Menurut laporan Carscoops, keputusan tersebut dibuat melihatkan kepada perubahan keadaan perniagaan semasa, di mana kedua-dua model itu akan dihentikan sementara penawarannya untuk model tahun 2026.
Kedua-dua model dijangka akan muncul semula pada awal 2027.
Berita baik, keputusan yang dibuat oleh Honda itu tidak akan melibatkan penawaran dua lagi model bertransmisi manual di Amerika Syarikat, iaitu Honda Civic Type R dan Integra Type S.
Kedua-dua Civic Type R dan Integra Type S dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo berkuasa 320 hp dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan.
Untuk makluman, Civic Type R telah dihentikan penawarannya di Eropah sebelum ini akibat peraturan emisi Euro yang semakin ketat.
Dalam satu kenyataan, Honda menjelaskan kedua-dua pihak Honda dan Acura merancang untuk mengembalikan semula penawaran bagi dua model tersebut ke dalam portfolio produk di mana perinciannya bakal diumumkan oleh Honda Amerika menjelang awal 2027.
Honda bukanlah pengeluar pertama yang menghentikan penawaran model bertransmisi manual di Amerika tahun ini.
Volkswagen baru-baru ini turut menamatkan penjualan bagi model Jetta GLI manual selepas model Golf GTI dan Golf R atas alasan jualan yang perlahan.



































