Utama Berita Automotif Pemilik tersadai 30-jam di Kazakhstan, Zeekr mohon maaf

Pemilik tersadai 30-jam di Kazakhstan, Zeekr mohon maaf

7

Sub-jenama Geely, Zeekr berjanji mempertingkatkan sistem kunci jarak jauh merentas sempadan susulan seorang pemilik 9X tersadai di Kazakhstan ketika melakukan pengembaraan.

Susulan itu, jenama mewah tersebut memperkenalkan penjana kod laluan dalam aplikasi Zeekr serta menjanjikan kemas kini perisian over-the-air (OTA) bagi butang pilihan untuk mematikan fungsi tersebut. 

Pemilik Zeekr 9X berkenaan mendakwa tidak lama selepas merentasi sempadan China, sistem kunci jarak jauh merentas sempadan pada keretanya telah diaktifkan, secara tidak langsung melumpuhkan fungsi kenderaan tersebut.

Fungsi pada skrin SUV itu seperti sistem navigasi, pembukaan kotak ruang simpanan papan pemuka (glove box), dan pintu penutup bahan api elektronik telah terpadam selama lebih 30 jam.

Pemilik berkenaan mendakwa bahawa pengedar tempatan Zeekr sebelum itu telah memberi kebenaran selepas dimaklumkan mengenai rancangan merentas sempadan tersebut.

Insiden itu menghalangnya daripada mengambil dokumen di dalam glovebox, dan beliau akhirnya meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial berhubung kelumpuhan sistem 9X berkenaan. 

Pihak Zeekr sebelum ini memberi maklum balas dengan mendakwa fungsi keselamatan kunci jarak jauh itu bertujuan untuk mencegah kes kecurian dan penyeludupan. 

Sistem itu juga mungkin berfungsi sebagai langkah pencegahan terhadap pasaran import kenderaan terpakai di  Asia Tengah yang mana hanya sebahagian jenama kenderaan China memasuki pasaran tersebut. 

Kemas Kini Daripada Zeekr

Dalam maklum balas terbaharu di platform Weibo, Zeekr memohon maaf atas insiden yang berlaku dan syarikat berjanji untuk melaksanakan pendekatan baharu iaitu kawalan oleh pengguna dan perlindungan oleh pengeluar. 

Jenama itu kini telah memperkenalkan penjana kod laluan dalam aplikasi rakan Zeekr (companion app), yang membolehkan pengguna menjana kod buka kunci mereka sendiri sekiranya sistem lumpuh akibat berada di luar China.

Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada pemandu boleh mendapatkan kod laluan tersebut tanpa sambungan internet, senario yang kerap berlaku semasa dan selepas merentasi sempadan antarabangsa.

Satu lagi perubahan bakal hadir menerusi kemas kini OTA akan datang, Zeekr berjanji untuk menyediakan butang pilihan mematikan kunci dalam aplikasi berkenaan.

Sebaik sahaja ia dilancarkan, pihak syarikat menyatakan bahawa sistem kunci jarak jauh merentas sempadan akan dimatikan secara lalai. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here