Utama Berita Automotif Tengku Amirul ganti Adib di ARRC Sepang

Tengku Amirul ganti Adib di ARRC Sepang

1140

Pelumba RCB Accentwire Yamaha YY Pang Racing Team, Adib Rosley yang terpaksa melupakan aksi pada ARRC minggu ini gara-gara masih belum pulih daripada kecederaan.

Adib akan menjalani proses pemulihan yang mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan.

“Saya sedih kerana tidak dapat beraksi pada Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang minggu ini. Impian saya adalah untuk menghadiahkan sesuatu kepada para penyokong saya.” katanya.

Dalam perbualan ringkas dengan pelumba asal Selangor itu hari ini, Adib menjelaskan bahawa dia agak kecewa kerana tidak dapat beraksi di hadapan penyokong sendiri.



Adib mengalami patah kaki ketika terjatuh pada aksi Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Teluk Intan minggu lalu dan dia memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

“Buat masa ini, semuanya berjalan lancar dan saya sedang menjalani proses pemulihan yang mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan. Saya hanya mampu berdoa agar rakan-rakan sepasukan melakukan yang terbaik di Sepang nanti,” jelas Adib yang pernah muncul naib juara pada Perlumbaan 2 kelas Underbone 150 di Suzuka sebelum ini.

Adib merupakan antara tonggak pasukan YY Pang yang turut cemerlang pada kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas.

Kekosongan yang ditinggalkan Adib itu akan memberi ruang kepada Tengku Amirul Haffirudin untuk beraksi pada Pusingan 6 ARRC di Sepang pada 20-22 September ini.

Saingan kali ini sudah pastinya menjadi medan buat pelumba Malaysia untuk menyekat penguasaan para pencabar mereka dari negara jiran.

Mereka kini sudah tidak mahu saingan pada Pusingan 1 kelas UB150 berulang pada Pusingan 6 di Sepang nanti.

Dengan sokongan daripada peminat tempatan, ia diharap mampu melonjakkan semangat barisan pelumba negara untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas ARRC.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here