Lewis Hamilton tetap tenang rebut kejuaraan dunia

1321

Pendahulu Kejuaraan Formula Satu (F1), Lewis Hamilton mahu kekal tenang dan fokus untuk memburu gelaran keenam dunia biarpun menyedari pasukannya tidak mendominasi kalendar perlumbaan. 

Pelumba Mercedes AMG Petronas itu mengakui perlumbaan musim ini amat mencabar termasuk berdepan saingan sengit dari pasukan Ferrari. 



“Selain kekal ‘cool’, saya akan bekerja keras dalam misi mempamerkan aksi terbaik yang turut membabitkan kerjasama semua ahli pasukan.  

“Ferrari memang dilihat memberi tentangan hebat dan saya tidak tahu apa mereka lakukan kepada jentera dalam perlumbaan sejak beberapa bulan lalu.  

 

“Kami kini perlu menyusun strategi dan mengoptimumkan ruang atau peluang bagi  menidakkan saingan itu.

Biarpun musim ini mendebarkan, saya percaya pada akhirnya tetap di sana jua (juara dunia),” katanya pada sesi bersama media sempena pengenalan minyak pelincir terbaru Petronas Syntium dengan teknologi ‘CoolTech’ di Kuala Lumpur, hari ini. 

Hadir sama, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Bhd (PDB),Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Lubricants International (PLI), Giuseppe D’Arrigo. 

Ketika ditanya bagaimana mengekalkan momentum prestasi sejak tujuh tahun lalu, kata Hamilton, beliau mengamalkan pendekatan tidak terlalu memikirkan tekanan ketika menghadapi sebarang perlumbaan. 

“Jika terlalu stress, saya tidak memikirkannya dan hanya perlu terus fokus supaya tidak mengecewakan pasukan. Kalah dan menang biarlah bersama. 

“Bagi meredakan tekanan itu, saya juga akan lebih kepada mendengar muzik dan terbabit dalam dunia rekaan fesyen,” kata pelumba Britain yang dijadualkan menyertai perlumbaan Grand Prix Rusia minggu ini. 

Hamilton, 34, sedang mendahului 65 mata di hadapan rakan sepasukan, Valtteri Bottas dalam carta kedudukan pelumba dengan berbaki enam perlumbaan. 

Juara lapan daripada 15 perlumbaan musim ini kini mempunyai 296 mata dengan diekori rapat pelumba Ferrari, Charles Leclerc

Pada Grand Prix Singapura kelmarin, Lewis Hamilton berada di tangga keempat selepas menyaksikan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel meraih kejuaraan dengan menakluki litar dalam keadaan berjerebu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here