BMW tawar kerusi kanak-kanak bersubsidi serendah RM100, terhad 150 unit

1346

BMW Malaysia berhasrat untuk menggiatkan penggunaan kerusi khas kanak-kanak menerusi sebuah program subsidi yang merupakan sebahagian daripada inisiatif BMW Safety 360°.

Dengan kolaborasi bersama Childline Foundation dan Safe ‘n Sound, mereka menawarkan 150 unit kerusi kereta kanak-kanak dengan harga bersubsidi berjumlah RM100 seunit.



Ia sejajar dengan inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk menguatkuasakan penggunaan kerusi kereta kanak-kanak mulai Januari 2020.

Tetapi pemandu tidak akan didenda sepanjang enam bulan yang pertama setelah peraturan tersebut dikuatkuasakan namun mereka akan diberikan amaran untuk memasang kerusi khas berkenaan.

Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Statistik menunjukkan hanya 30% pemandu yang menggunakan kerusi khas untuk anak-anak mereka, maka ia menjadi lebih mustahak bagi kami sebagai pengeluar kenderaan untuk memberi penekanan terhadap keselamatan kanak-kanak, dan bersedia untuk mengharungi cabaran dalam usaha untuk mendidik dan meningkatkan aksesibiliti ke atasnya.”

“Kami berasa terdorong melihat Kementerian Pengangkutan mengambil langkah yang tegas untuk mewajibkan penggunaan kerusi kereta kanak-kanak pada tahun hadapan, namun pada masa yang sama, menyedari bahawa terdapat golongan ibu bapa yang mungkin mempunyai akses terhad ke atas kerusi khas berkenaan – lantas mereka diberikan pelepasan cukai serta yuran eksais yang lebih rendah untuk memperoleh kerusi ini.”

“Sehubungan itu, kini kami membawakan program subsidi tersebut menerusi kemudahan dalam talian untuk menjadikan kerusi kereta kanak-kanak ini lebih mudah untuk diakses bagi isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.”

BMW Malaysia dan Safe ‘n Sound akan mensubsidikan 150 kerusi kereta mudah bawa (carrier) snskidz Ace yang setiap satunya bernilai RM100.

Kerusi khas tetapan menghala ke belakang, yang bernilai RM199 ini boleh digunakan sejak lahir sehingga berat bayi mencecah 13kg. Produk tersebut juga hadir dengan persijilan ECE R44-04.

Ibu bapa boleh mendaftar untuk memperoleh kerusi khas bersubsidi berkenaan di www.safensound.com.my/pages/program-subsidi-kerusi-keselamatan-kanak-kanak mulai hari ini hingga 15 Disember 2019.

Ibu bapa yang layak menerima subsidi tersebut akan dimaklumkan, kemudian bayaran berjumlah RM100 perlu dibuat sebelum kerusi khas berkenaan boleh diambil.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here