Covid-19: Ketua Polis Negara tuntut pemandu mabuk dikenakan hukuman yang maksimum

14504

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador, menuntut supaya pemandu mabuk dikenakan hukuman yang maksimum, terhadap nahas yang mengorbankan seorang anggota polis di sekatan jalan raya Op Covid-19.

Menurutnya, siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan itu berpunca daripada tindakan pemandu terbabit yang cuai dan dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.



“Tindakan undang-undang dan hukuman akan diambil terhadap pemandu mabuk berkenaan. Saya berharap, dia akan dikenakan hukuman maksimum atas perbuatannya sebagai pengajaran supaya tidak berulang lagi.

“Ada segelintir individu yang tidak menghiraukan langsung keselamatan pengguna dan petugas di jalan raya. Harus diketahui bahawa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua pergerakan dihadkan.

“Namun, ada lagi yang sempat mengambil minuman keras dan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan maut. Itu adalah jelas satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador

Koperal Safwan, 31, terkorban selepas sebuah pacuan empat roda merempuh sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

https://www.facebook.com/ts.muhyiddin/posts/2965004356911437

Pada masa sama, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Mohamad Ismail.

Muhyiddin menerusi Facebook, menzahirkan rasa sedih dengan berita berkenaan dan menganggapnya satu kehilangan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya bagi pihak kerajaan mengucapkan takziah kepada kepada keluarga Allahyarham dan PDRM. Saya berharap tragedi ini tidak mematahkan semangat anggota PDRM dan frontliners (barisan hadapan) yang lain dalam menjalankan tugas.

“Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya sambil turut menyedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham.

1 KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here