Jepun pilih Mitsubishi sebagai kontraktor utama bangunkan pesawat pejuang F-X

1861

Jepun telah melantik Mitsubishi Heavy Industries (MHI) sebagai kontraktor utama membina jet pejuang generasi terbaharu.

Kementerian Pertahanan negara itu berkata: “Kami akan meneruskan pembangunan pesawat pejuang generasi baharu (F-X) dengan syarikat itu.”



Menteri Pertahanan, Nubuo Kishi juga dilaporkan berkata Jepun akan memilih rakan kongsi asing menjelang hujung tahun ini untuk bekerjasama dengan teknologi pesawat. Antara fokus utama adalah teknologi stealth.

MHI merupakan satu-satunya syarikat di Jepun yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini. Firma itu baru-baru ini menduduki tangga ke-21 dalam senarai syarikat pertahanan 100 teratas di dunia menurut Defense News.

Reuters pula melaporkan kontrak pesawat itu bernilai USD40 bilion (RM166.3 bilion).

Kementerian Pertahanan Jepun juga dikatakan mencari lebih dana untuk membiayai kajian dan penyelidikan F-X dalam laporan bajet terkini yang diserahkan kepada Kementerian Kewangan pada September lepas.

Kementerian Pertahanan memohon sejumlah USD555.8 juta (RM2.3 bilion) untuk program utama serta tambahan USD113.6 juta (RM472.3 juta) untuk R&D bagi subsistem seperti radar dan integrasi sistem misi.

Dana itu juga akan membantu Jepun membangunkan dan memperhalusi rekaan serta bahan stealth, radar aktif, dan enjin turbofan dengan afterburner.

Kementerian itu juga sebelum ini berkata ia mahu melancarkan proses rekaan asas badan dan enjin F-X sebelum tahun fiskal semasa, yang berakhir pada 31 Mac 2021.

Ini akan diikuti oleh pengeluaran prototaip pertama yang dijadualkan bermula pada 2024. Ujian penerbangan pula dijangka dibuat pada 2028 selepas perancangan pengeluaran dan rekaan dipastikan.

Pesawat pejuang Mitsubishi F-2

Jepun merancang menggantikan kira-kira 90 unit jet pejuang F-2 dengan pesawat generasi terbaharu ini sekitar 2035. F-2 merupakan pesawat yang dibangunkan bersama Lockheed Martin pada 90-an, dan ia menyerupai versi F-16 yang lebih besar.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here