Lebih sasaran! Perodua catat 220,154 unit jualan untuk 2020

1035

Perodua berjaya mendaftar 220,154 kenderaan pada 2020, mengatasi sasaran jualan 210,000 unit sebanyak 10,154 unit, didorong permintaan tinggi di sebalik pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana memilih Perodua dan kepada pihak kerajaan kerana melanjutkan tempoh pengecualian cukai jualan di bawah program PENJANA bagi mengekalkan momentum jualan industri automotif,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.



Beliau menambah bahawa Perodua berjaya mengeluarkan 220,968 kenderaan pada 2020 walaupun pengeluaran dihentikan antara Mac dan Mei 2020 akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sungguhpun demikian, pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan pada Jun 2020 berjaya menarik minat pembeli kenderaan. Permintaan ini dapat melangsungkan pengeluar kenderaan serta ekosistem automotif tempatan.

“Perodua juga mencapai detik satu juta Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pada November 2020 – tepat dua tahun selepas mencapai detik setengah juta – lalu mengukuhkan kedudukan kami sebagai pengeluar EEV terbesar di Malaysia dari segi jumlah,” tambah Dato’ Zainal.

Beliau berkata bahawa pencapaian jualan yang lebih baik daripada dijangkakan, memberi kesan positif secara langsung kepada ekosistem automotif Malaysia dengan membantu para pembekal dan pengedar menghadapi cabaran pada 2020.

“Kami menjangkakan tahun yang lebih baik kerana terdapat petunjuk positif bahawa pandemik Covid-19 akan dapat diatasi dengan vaksin yang baru dikeluarkan. Kami akan mengumumkan sasaran 2021 kami pada masa yang terdekat,” ujar beliau.

Dato’ Zainal berkata bahawa buat masa ini, Perodua akan terus memenuhi tempahan yang sedia ada dan berusaha ke arah jumlah jualan yang lebih tinggi pada 2021.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here