Man Truck & Bus lancar trak generasi baharu, pertama di Malaysia guna enjin Euro V

1959

MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd melancarkan MAN Truck Generation Baharu, rangkaian trak tugas berat baharu di Malaysia bagi memenuhi keperluan industri pengangkutan yang sentiasa berubah dan menetapkan piawaian baharu.

Trak MAN Truck Generation baharu didatangkan dengan enjin Euro V sebagai standard, menjadikan MAN Malaysia pengeluar trak tugas berat pertama di negara ini. Ia juga memenuhi tanggungjawab dalam membantu mengurangkan jejak karbon industri pengangkutan dan logistik.



Pelancaran ini tepat pada masanya berikutan langkah kerajaan Malaysia mengumumkan hasratnya untuk mencapai status neutral karbon menjelang 2050. Enjin Euro V mengurangkan pelepasan gas nitrogen oksida (NOx) melalui penggunaan diesel Euro V sulfur rendah dan cecair rawatan ekzos AdBlue.

MAN Malaysia menawarkan lima varian model TGS daripada rangkaian MAN Truck Generation Baharu yang dikhususkan untuk tiga aplikasi utama :

  • 4×2 dan 6×2 untuk pengangkutan/kontena;
  • 6×4 untuk pembinaan dan kegunaan tugas berat; dan
  • 4×2 dan 6×2 dengan spesifikasi ADR (Perjanjian Berkaitan Pengangkutan Barangan Bahaya melalui Jalan Raya). 

Harga bermula dari RM340,000 untuk spesifikasi standard, tidak termasuk SST.

MAN TGS baharu didatangkan dengan dua pilihan enjin. Varian 4×2 dan 6×2 untuk pengangkutan dan membawa barangan berbahaya dikuasakan oleh enjin diesel Euro V MAN D20, 10.5 liter, 6 silinder sebaris. 

Varian 6×4 berorientasikan tugas berat mempunyai enjin D26 12.4 liter yang lebih besar dan cukup efisien. Kedua-duanya dibangunkan untuk masa hadapan, menampilkan teknologi Selective Catalytic Reduction (SCR) untuk mengurangkan perlepasan gas berbahaya ke atmosfera.

Digandingkan dengan kedua-dua enjin itu ialah kotak gear pintar MAN TipMatic® 12-kelajuan yang lancar dan senyap dengan perisian canggih dan program pemanduan yang boleh dipilih untuk aplikasi yang berbeza.

Enjin Euro V dalam MAN TGS baharu digabungkan dengan driveline dan komponen perisian yang baharu dibangunkan untuk memastikan tahap kecekapan lebih tinggi serta penjimatan bahan api terbaik dan pelepasan CO² yang rendah.

MAN TGS baharu untuk pasaran Malaysia menampilkan pelbagai inovasi seperti MAN EasyControl dan SmartSelect.

MAN EasyControl terdiri daripada empat butang, dua daripadanya boleh disesuaikan untuk berbagai fungsi yang boleh dikendalikan oleh pemandu semasa berada di luar trak. Tidak perlu naik semula ke dalam kabin untuk mengaktifkan fungsi seperti lampu kecemasan, mematikan enjin, menutup tingkap dan sebagainya.

MAN SmartSelect ialah kawalan sistem infotainment dua peringkat yang disertakan dengan sandaran lengan boleh lipat untuk menjadikan operasi lebih mudah dan tepat walaupun terdapat getaran di dalam kabin semasa trak bergerak.

Selain itu, MAN Telematics, sistem penyelenggaraan digital dan pengurusan fleet yang dibangunkan secara menyeluruh dan dipasang di kilang, mampu mengurangkan ketidakcekapan operasi dan kos sambil memastikan trak MAN TGS baharu beroperasi pada tahap maksimum. Berita baiknya ialah MAN Malaysia menawarkan langganan percuma selama dua tahun dengan setiap pembelian MAN Truck Generation Baharu.

MAN TGS baharu dilengkapi dengan pelbagai sistem keselamatan dan bantuan pemandu yang inovatif untuk memastikan pemandu dan kenderaan menyelesaikan urusan mereka dengan selamat. Ini termasuk:

  • Sistem Amaran Berlepas Lorong (LDW);
  • Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC);
  • Program Kestabilan Elektronik; dan
  • Bantuan Brek Kecemasan (EBA) Termaju.

Untuk maklumat lanjut tentang MAN Truck Generation Baharu dan Bas MAN di Malaysia, sila lawati  www.man.com.my. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here