Kawasaki H2 Gundam Edition bukan saja pertama di Malaysia, tapi di dunia

11685

Sebelum ini kami pernah melihat beberapa sentuhan modifikasi motosikal yang mengambil inspirasi karakter anime Gundam misalnya pada Honda Groom dan Yamaha NVX.

Menerusi dekal atau pelekat saja sudah membuatkan penampilan motor menjadi lebih ‘outstanding’ asalkan konsep dan pelaksanaannya bagus.

GARA-GARA KUARANTIN



Seperti mana, hasil karya agung Kawasaki H2 Gundam Edition milik anak jati Dungun, Terengganu ini. Jentera Ahmad Sholihin Dollah, 39 yang tular itu bukan saja yang pertama di Malaysia bahkan dunia.

Awalnya kami beranggapan dia merupakan peminat tegar anime Jepun berkenaan tetapi andaian kami nyata tersasar. 

Sholihin yang bekerja di pelantar minyak Terengganu itu membuka cerita semuanya bermula ketika dia perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari sebelum memasuki pelantar.

“Selama kuarantin tak tahu nak buat apa jadi saya mula pasang model motosikal Tamiya dan Gundam sekitar September dan Oktober.

“Bila saya tengok muka depan motor H2 eh mirip Gundam RX-78-2,  so dari situ muncullah idea nak ubah motor,” katanya kepada Motoqar.

PROSES PERUBAHAN SEBULAN

Tidak menunggu lama, Sholihin menemui Zameer Pentbrush untuk mendapatkan pandangan dan idea bagi mengubah jenteranya menjadi Gundam RX-78-2. Setelah mendapat lampu hijau, proses modifikasi bermula pada bulan Disember.

“Disebabkan musim tengkujuh, kerja yang sepatunya mengambil masa dua hingga tiga minggu menjadi sebulan lebih kerana cuaca yang tidak menentu.

“Ini kerana setiap komponen perlu dicat beberapa lapis jadi ambil masa untuk kering.  Jenis cat yang digunakan adalah bancuhan 2k dan menggunakan material clear coat jenis glasurit,” katanya yang juga memiliki motor Yamaha Y15ZR dan RXZ. 

Sholihin memilih cat bancuhan bagi mendapatkan warna sebenar yang terdiri daripada perpaduan warna cerah biru, putih, merah dan kuning. Proses semburan cat itu menelan belanja RM3,000, menggunakan empat liter tong cat. 

Pada bahagian komponen badan jentera boleh dilihat beberapa perkataan yang mewakili watak anime tersebut misalnya Gunpla pada perumah cermin sisi, EFSF (Earth Federation Space Force) bersama logo organisasi pada madgad depan dan WS 102 pada fairing sisi.

NAIK TARAF LAIN- KOS RM20K

Selain perubahan kosmetik tersebut, Sholihin sebelumnya turut melakukan beberapa naik taraf pada superbike tersebut antaranya enjin, sistem ekzos Replica H2R, penapis udara K&N, palam pencucuh NGK Iridium dan talaan ECU spesifikasi H2R menggunakan Woolich Racing by OK SBK Johor Bahru (250hp).

Untuk keyakinan tunggangan, dia yang pernah memenangi beberapa perlumbaan SBK Drag Racing turut menggunakan tayar Pirelli Supercorsa SC2 V3, sistem brek kaliper Brembo M50, pad brek Brembo Z04 dan aksesori tambahan winglet replika H2R menggunakan cetakan 3D.

Secara keseluruhan Sholihin menghabiskan sekitar RM30,000 termasuklah penampilan baharu Gundam Edition berkenaan.

Sebelum kami menamatkan bicara, Sholihin turut berkongsi bagi melengkapkan imej Gundam itu dia memilih warna tema yang sama pada helmet Shoei miliknya. Sayangnya proses kemas kini tersebut masih belum siap dan tidak dapat dikongsi.

Selain itu, jenteranya juga bakal membuat penampilan khas di satu pelancaran produk yang tidak disebutkan jenamanya.  

GALERI

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here