Mitsubishi Motors sumbang sistem solar berkuasa tinggi kepada Orang Asli

639

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) menyumbangkan sistem solar berkuasa tinggi untuk membolehkan akses kepada tenaga solar di ruang komuniti kongsi Orang Asli atau biasanya dikenali sebagai Rumah Adat mereka, baru-baru ini. 

Naib Presiden Kanan MMM, Arba Rahman berkata, sebagai sebahagian daripada masyarakat negara ini, pihaknya mahu melihat rakyat Malaysia malah masyarakat peribumi menjalani kehidupan yang lebih baik.



“Dengan sistem solar berkuasa tinggi, kami akan menyediakan akses komuniti Orang Asli kepada tenaga mampu milik dan boleh diperbaharui.

“Ia juga mampu meminimumkan kesan kesihatan dan alam sekitar daripada tenaga tidak boleh diperbaharui, pencemaran alam sekitar yang lebih rendah, dan akhir sekali mengurangkan perbelanjaan tenaga daripada membeli sumber tenaga mahal yang tidak mampan,” katanya.

Sumbangan itu dilakukan melalui Yayasan Keamanan Global, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan misi untuk membina masyarakat Orang Asli yang berdaya tahan dan bersatu padu.

Kekurangan akses kepada elektrik di rumah Orang Asli dan ruang komuniti membawa risiko kesihatan, perbelanjaan tenaga yang mahal dan kesan alam sekitar.

Bagi mendapatkan cahaya ketika gelap, unggun api adalah yang digunakan dengan membakar buah sawit kering menghasilkan banyak asap sekali gus menyebabkan batuk dan mata berair di kalangan penduduk kampung, terutamanya kanak-kanak.

Selain itu, rumah dan ruang komuniti dibina daripada sumber di dalam hutan seperti kayu buluh dan barangan tambahan seperti zink dan PVC.

Sesetengah bahan ini mudah terbakar, menjadikannya berbahaya untuk menggunakan api sebagai sumber cahaya.

Sesetengah keluarga Orang Asli juga bergantung kepada tenaga pakai buang seperti petrol untuk menjalankan penjana dan bateri untuk menghidupkan lebih daripada sekadar lampu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here