OKU kekurangan pendengaran ‘ride’ ke Laos, guna Honda EX-5 Fi dengan kos RM3K!

1460

Saya rancang untuk menunggang lebih jauh pada masa akan datang, mungkin ke China atau Mekah,” itulah kata-kata seorang pemuda kekurangan pendengaran, Khairul Azri Zahari, 32 yang viral dalam media sosial selepas menjelajah Thailand dan Laos selama 20 hari bersama beberapa rakannya menaiki motosikal baru-baru ini.

Kisah pengembaraan Khairul Azri menerima respons positif daripada netizen yang kagum dengan kegigihannya mengembara walaupun bergelar orang kurang upaya (OKU).

Rata-rata netizen memberi kata semangat kepada Khairul Azri dan mahu pemuda itu meneruskan minatnya untuk mengembara.



Rancang awal 2022

Menurutnya, ini bukannya kali pertama dia menjelajah menunggang merentasi negara seperti Thailand, cuma kali ini lebih jauh sehingga ke Laos.

“Perancangan ‘ride’ itu sudah dibuat sejak awal tahun 2022 dan ini adalah kali pertama saya menunggang Honda EX-5 FI, berbanding sebelum ini menggunakan Yamaha 125Z

“Dengan Yamaha 125Z, saya pernah menunggangnya sehingga Kemboja dengan jarak perjalanan mencecah 1,850 kilometer,” katanya kepada Motoqar.com.

Khairul Azri pernah mewakili negara dalam acara olahraga dan pernah berentap di Korea Selatan. Dia juga pernah mengembara ke China dan Indonesia beberapa tahun lalu selain Thailand.

Laluan Waze

Ketika ditanya bagaimana memilih untuk laluan menjelajah Thailand dan Laos baru-baru ini, beliau memaklumkan laluan yang digunakan semuanya berdasarkan laluan aplikasi Google Maps dan Waze.

“Sebelum ke destinasi, saya tengok gambar tempat berkenaan di internet terlebih dahulu, barulah saya ke sana,” katanya yang kini bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Khairul Azri berkata, duit yang dibelanjakan untuk jelajah sepanjang 20 hari itu mencecah RM3,000 untuk kos petrol, hotel, makan dan minyak pelincir.

Pemuda dari Kuala Terengganu itu berkata, dia rasa puas dapat pergi ke negara lain, lebih-lebih lagi ke tempat yang cantik kerana suasana berbeza daripada Malaysia.

Galeri Gambar:

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here