Gagal potong Myvi, kelindan lori maut

617

Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu gagal memotong Perodua Myvi dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Tebong, Alor Gajah, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa, A. Suresh, 37, yang bekerja sebagai kelindan lori meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di dada.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian kereta jenis Proton Saga Iswara dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Ayer Pasir menuju ke Tebong.



“Setibanya di lokasi, sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita berusia 34 tahun dari arah sama telah membelok ke kanan untuk masuk ke simpang rumahnya di kuaters Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Mangsa yang datang dari arah belakang cuba memotong, namun gagal dan melanggar bahagian hadapan Myvi tersebut sehingga terbabas lalu merempuh sebuah Toyota Camry yang parkir di bahu jalan,” katanya.

Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here