Tak sempat beli Perodua Myvi tunai, duit KWSP lesap

1679

Hasrat jurujual membeli kereta baharu hasil pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak kesampaian selepas diperdaya sindiket Macau Scam, yang menyebabkannya kerugian RM100,000.

Ng Yaw Jin, 58, berkata dia mengeluarkan wang KWSP berjumlah RM60,000 untuk membeli Perodua Myvi secara tunai, namun wang itu disimpan di akaun banknya kerana tempoh menunggu yang lama. 



“Namun saya tidak menyangka akan menjadi mangsa sindiket penipuan sehingga duit simpanan saya termasuk wang membeli kereta itu lesap sekelip mata,” katanya. 

Ng berkongsi kejadian terjadi pada 21 Disember lalu selepas dia menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang.

“Dia (suspek) memaklumkan nama saya telah dikaitkan dengan sindiket pengedaran dadah serta semua wang simpanan akan dibekukan, malah memberitahu boleh membantu menyelesaikan masalah itu.

“Saya kemudian diminta berhubung dengan dua individu lain yang mengaku pegawai tinggi polis dan pegawai di Bank Negara,” katanya.

Disebabkan panik, dia hanya mengikut semua arahan suspek termasuk menyerahkan maklumat akaun serta nombor pengesahan transaksi (TAC), serta memindahkan wang ke akaun yang bukan miliknya.

Dia hanya sedar diperdaya selepas wang dalam akaunnya hilang pada 29 Disember lalu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here