Perodua naik sasaran jualan baharu tahun ini, 314,000 kepada 325,000 unit

211

Perodua menaikkan sasaran pengeluarannya tahun ini kepada 338,000 unit dan menetapkan sasaran jualan yang lebih tinggi iaitu sebanyak 325,000 unit menjelang akhir tahun ini.

Ia didorong oleh bekalan komponen yang bertambah baik daripada vendor automotif serta permintaan yang sihat bagi model keluarannya.

Pada Januari 2023, syarikat kereta kompak itu mengumumkan sasaran pengeluaran sebanyak 330,000 unit dan sasaran jualan sebanyak 314,000 kenderaan berdasarkan momentum jualan yang diterima berhubung lanjutan penghantaran bagi kenderaan yang mendapat pengecualian cukai jualan pada tahun 2021 di samping permintaan yang baik terhadap model baharunya, Perodua Axia.



Zainal Abidin Ahmad

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, bulan ini menyaksikan Perodua mencatatkan prestasi pengeluaran dan jualan tertinggi, masing-masing 35,111 unit dan 33,836 unit dalam hanya tempoh sebulan.

Beliau berkata, peningkatan dalam pengeluaran dapat dicapai dengan sumber yang tersedia dalam ekosistem automotif semasa, dan perkembangan itu memberi petunjuk kepada potensi pertumbuhan bagi kedua-dua sisi permintaan dan bekalan dalam industri berkenaan.

“Walaupun terdapat beberapa isu seperti ketersediaan bekalan cip semikonduktor dalam jangka panjang masih berlaku, namun kami sudah mempunyai bekalan yang cukup. Justeru, prestasi suku keempat Perodua dijangka menjadi yang terbaik dalam sejarah,” katanya.

Sebagai rujukan, Perodua menghasilkan 22,974 unit kenderaan pada Oktober 2022 dan mendaftarkan 24,849 unit kereta dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagi asas tahun ke tahun, Perodua mengeluarkan 280,452 unit dalam tempoh Januari hingga Oktober 2022, dengan kenaikan sebanyak 22% daripada 229,811 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Bagi aspek jualan dari Januari hingga Oktober 2023, sebanyak 267,063 unit telah didaftarkan, dengan kenaikan sebanyak 20.2% daripada 222,203 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Zainal berkata, jika momentum ini berterusan, industri automotif berpeluang untuk terus berkembang pada tahun 2024 dan ia akan membantu melonjakkan sentimen pengguna walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi tahun hadapan.

“Pada masa ini, fokus kami adalah untuk memaksimumkan potensi syarikat dalam aspek pengeluaran dan jualan bagi membolehkan para pelanggan kami menerima kenderaan Perodua mereka dengan lebih pantas,” katanya. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here