Stellantis bakal pasang kenderaan BEV di Gurun, Kedah, untuk domestik dan eksport di ASEAN

251

Stellantis, pengeluar kereta terbesar dunia dengan 14 jenama ikonik seperti Peugeot, Citroën, Ram, Maserati, Alfa Romeo, Jeep dan banyak lagi, menggariskan rancangan bagi mewujudkan penyelesaian mobiliti baharu di rantau ASEAN.

Satu daripada tiga pasaran utamanya, termasuk hasrat untuk menerajui peralihan kepada elektrifikasi.

Pada 2021, Stellantis memperoleh 100% kepentingan pemilikan kilang di Gurun, Kedah dan menubuhkan Ibu Pejabat Wilayah India serta Asia Pasifiknya di Kuala Lumpur, iaitu sebagai sebahagian daripada pelan hala tujunya “Built in ASEAN for ASEAN”.



Stellantis sedang menilai potensi kilang di Gurun sebagai hab pembuatan serantau untuk mengeluarkan kenderaan elektrik berasaskan bateri (BEV) untuk pasaran domestik dan eksport di ASEAN.

Kilang terbabit kini mengeluarkan model utama Peugeot termasuk 2008, 3008 dan 5008 yang diedarkan ke pasaran di rantau ini termasuk Malaysia, Filipina, Thailand dan Kemboja. 

Stellantis menyasarkan untuk mewujudkan platform STLA Medium ke rantau ASEAN yang diperkenalkan secara global pada Jun 2023. STLA Medium ialah platform global BEV-by-design dengan ciri-ciri canggih termasuk menawarkan jarak perjalanan 700 kilometer terbaik dalam kelasnya, kecekapan tenaga, kuasa terbaik, dan kuasa pengecasan. 

Selaras dengan komitmen Stellantis terhadap kelestarian jangka panjang dan sasaran untuk mencapai strategi Dare Forward 2030, pembuat kereta itu melabur lebih RM2 bilion (€400 juta) untuk memperkenalkan platform STLA Medium.

Platform itu membolehkan Stellantis menghasilkan kenderaan pelbagai tenaga (BEV, ICE, MHEV) di ASEAN untuk ASEAN yang mampu mewujudkan peluang penyumberan untuk pembekal dan pengilang tempatan melebihi RM5 bilion (€990 juta) dalam tempoh empat tahun akan datang. 

Melalui pelaburan itu, Stellantis komited untuk menerajui peralihan kepada elektrifikasi dalam pasaran ASEAN yang mana dapat membuka banyak peluang baharu menjangkaui aspek pembuatan.

Ini boleh merangkumi pertumbuhan berdasarkan ekosistem elektrifikasi tempatan, termasuk pemasangan pek bateri secara tempatan dan peluang pekerjaan baharu berkaitan, yang merangsang perniagaan tempatan serta memberi kesan positif kepada ekonomi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi dan Pengedar Am Stellantis bagi ASEAN, Daniel Gonzalez berkata, pelan pertumbuhan dan pengembangan ASEAN Stellantis sejajar dengan komitmen global syarikat untuk mencapai output karbon sifar bersih menjelang 2038 dengan mengurangkan kesan kepada alam sekitar dan menggalakkan kemampanan.

“Sebahagian besar rancangan ASEAN kami tertumpu pada inovasi yang membabitkan peralihan kepada elektrifikasi dan teknologi. Ini akan meletakkan Stellantis di barisan hadapan dalam era baharu penyelesaian mobiliti.

“Potensi EV sangat besar di ASEAN dan kami mahu menerajui pengembangan elektrifikasi di rantau ini. Kami mahu menghasilkan EV di ASEAN, serta melibatkan pembangunan dan kejuruteraan kenderaan yang disesuaikan dengan keperluan khusus pengguna tempatan di rantau ini,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here