Menteri : Cadang lorong motor di lebuhraya

246

Setiap pembinaan lebuhraya baharu di masa depan wajib menyediakan lorong khas laluan motosikal bagi menjamin keselamatan penunggang.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexender Nanta Linggi berkata, cadangan itu antara yang diselitkan dalam Rancangan Pembangunan Rangkaian Lebuhraya (HNDP).



“Di masa depan apabila dirancangkan pembinaan lebuh raya baharu, kita mungkin boleh letakkan syarat untuk wajib (bina) lorong motosikal. (Walaupun) ia akan beri implikasi terhadap kos, tetapi kita prihatin nyawa.

“Dalam HNDP, KKR mungkin akan buat dasar dan diangkat ke kabinet untuk mewajibkan lebuhraya yang bakal dibina mesti ada lorong motosikal.

“Selagi belum buat, sekarang kita lakukan yang terbaik dengan melebarkan jalan untuk beri laluan kepada mereka (penunggang motosikal),” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Kapit itu, ketika ini pelebaran jalan sedang giat dilakukan namun mengakui tidak mudah dilaksanakan ekoran tiada ruang sesuai di laluan jalan sedia ada.

Justeru beliau menjelaskan, KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memperbanyakkan tempat berteduh penunggang motosikal dibina di lebuhraya seluruh negara di bawah Inisiatif Bitara Malaysia Madani: Kementerian Kerja Raya.

“Kita tambah dan perbanyakkan lagi tempat berteduh untuk penunggang motosikal semasa musim hujan.

“Kementerian dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya dan saya difahamkan, kita menepati sasaran tahun ini,” jelasnya.

Sebelum ini media melaporkan, sebanyak 119 tempat berteduh penunggang motosikal akan dibina di lebuhraya melibatkan 33 syarikat konsesi.

Jumlah itu merupakan tambahan daripada 353 tempat berteduh motosikal yang sedia ada sebelum ini.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here