
Awal tahun ini, Zeekr Malaysia berkongsi bahawa 7X bakal memasuki pasaran tempatan pada suku ketiga.
Sebelum pelancaran rasmi, pengunjung Malaysia Autoshow (MAS 2025) bakal menjadi antara yang terawal melihat dengan lebih dekat SUV elektrik premium berkenaan.
Ini kerana Zeekr Malaysia mempamerkan model terbaharu tersebut di reruai jenama berkenaan di MAS 2025 yang berlangsung dari 9 hingga 15 Mei di MAEPS, Serdang.
Pada acara previu tersebut Zeekr Malaysia mengumumkan 500 pelanggan terawal bakal menikmati harga promosi iaitu :
- RWD Standard : RM182,000
- RWD Long Range : RM195,000
- AWD Perfromance : RM230,000
Langkah ini menandakan kemaraan Zeekr dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, hanya selepas pengenalan model Zeekr X dan Zeekr 009 sebelum ini.
Zeekr 7X diletakkan sebagai pesaing utama dalam segmen SUV elektrik bersaiz D yang menyasarkan model popular seperti Tesla Model Y dan BYD Seal U (Sealion 7 di pasaran lain).
Dibina di atas platform Sustainable Experience Architecture (SEA) 800V milik Geely, Zeekr 7X memiliki panjang 4,825 mm, lebar (1,930 mm), tinggi (1,666 mm) dan jarak roda 2,925 mm. Ia lebih besar berbanding Model Y dan sedikit kecil berbanding BYD Seal U.
Penampilan moden diserlahkan dengan bahasa reka bentuk “Hidden Energy” Zeekr menerusi lampu hadapan adaptif LED matriks “Stargate” yang interaktif.
Untuk pasaran global, Zeekr 7X ditawarkan dengan pilihan pek bateri:
- 75 kWh LFP (Golden Brick) dan 100 kWh NMC (Qilin) dengan motor pacuan belakang (421 PS/ 440Nm)
- Varian pacuan roda belakang (RWD) dengan bateri 75 kWh mampu menawarkan jarak gerak sehingga 605km (CLTC).
- Varian RWD dengan bateri 100 kWh boleh mencapai jarak pemanduan 780km (CLTC).
- Bagi yang inginkan prestasi lebih, varian pacuan semua roda (AWD) dengan bateri 100kWh dipadankan dengan tambahan motor di depan (646 PS/ 710Nm) dan mampu memecut dari 0-100 kmj dalam 3.8 saat, dengan jarak perbatuan 705 km (CLTC).
- Sistem elektrik 800V membolehkan pengecasan pantas DC sehingga 360kW.
Sementara itu, kabin Zeekr 7X menjanjikan pengalaman premium dengan ciri-ciri canggih termasuk skrin infotainmen mini-LED 16 inci resolusi tinggi, paparan instrumen digital 13.02 inci, dan paparan head-up (HUD) AR bersaiz 36.21 inci.
Keselesaan penumpang dipertingkat dengan tempat duduk Nappa dengan fungsi urut, ventilasi, dan pemanas.
SUV itu dijual pada harga mula CNY229,900 (RM135,081) di pasaran China….berapakah harganya nanti bila masuk Malaysia?…