Zeekr 007 rasmi lancar di China dengan pengecasan terpantas dunia, harga mula RM136k

292

Zeekr memperkenalkan sedan 007 yang akan bersaing dengan Tesla Model 3, pada harga mula CNY 209,900 (RM136,744).

Zeekr 007 menerima 51,569 unit tempahan sejak 40 hari lalu yang mana penghantaran pertama akan bermula pada 1 Januari depan.

LUARAN DENGAN LCD MESEJ

LCD depan yang boleh memaparkan mesej

Pada bahagian luaran, model itu dilengkapi dengan skrin LCD bersaiz besar 90-inci pada  lampu depan yang boleh memaparkan mesej kepada pejalan kaki dan pengguna jalan raya.



Ciri itu membolehkan 007 berkomunikasi dengan pejalan kaki atau menghasilkan bunyi lucu menerusi pembesar suara yang disediakan.

Sedan saiz pertengahan itu dibangunkan di atas platform PMA2+ menerusi panjang 4,865mm; lebar (1,900mm) dan tinggi (1,450mm) serta jarak roda 2,928mm.

Ia menggunakan bahasa rekaan ‘Hidden Energy’, idea mantan pereka Bentley, Stefan Sielaff yang kini memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Rekaan Global Geely.

KOMUNIKASI SATELIT

Sistem dalam kabin digerakkan oleh Zeekr OS 6.0 dan menampilkan AR-HUD 35.5-inci dan LCD 15.5-inci yang boleh dipusingkan dengan resolusi 2.5k OLED serta 21 pembesar suara Dolby Atmos.

Kesemuanya dikuasakan cip 8295 Qualcomm Snapdragon. Bahkan, Zeekr juga menyatakan 007 adalah EV pengeluaran massa pertama yang dilengkapi dengan komunikasi satelit.

Selain itu, Zeekr 007 dilengkapi dengan Navigation Zeekr Pilot (NZP) lebuhraya manakala Urban NZP akan tersedia pada Jun 2024.

Tidak ketinggalan, model itu memiliki fungsi parkir sendiri di samping ciri ADAS dengan segudang sensor termasuklah lidar, kamera definisi tinggi (12); radar gelombang 5mm dan radar ultrasonik (12).

DUA KAPASITI BATERI

Zeekr 007 didatangkan dengan dua pilihan kapasiti bateri iaitu 75kWh litium ion fosfat (LPF) yang dikenali sebagai bateri emas. Ia menawarkan jarak pemanduan sejauh 688km.

Bateri emas itu boleh menambah jarak pemanduan 500km dengan hanya 15 minit pengecasan. Kuasa pengecasan maksimum adalah 500kW manakala cas pantas boleh meningkat hingga 25 peratus.

Pilihan kedua pula adalah, bateri CATL 100kWh Qilin yang menawarkan jarak perbatuan 870km.

Terima kasih pada seni bina 800V, bateri boleh menambah perbatuan 610km dalam tempoh 15 minit. Menurut Zeekr, ia adalah yang terbaik dalam kalangan EV yang dihasilkan secara massa. 

Zeekr 007 memiliki enam pilihan konfigurasi iaitu: 

  • RWD 75 kWh : 688km; CNY209,900 (RM136,744)
  • RWD 75 kWh Smart (ADAS) : 688km; CNY 229,900 (RM149,773)
  • RWD 100 kWh Smart (ADAS) : 870km; CNY 259,900 (RM169,317)
  • AWD 75 kWh : 616km; CNY229,900 (RM149,773)
  • AWD 100 kWh Smart (ADAS) : 770km; CNY 259,900 (RM169,317)
  • AWD 100 kWh Performance (ADAS) : 660km, CNY 299,900 (RM195,376)

Sementara itu, 007 dipadankan dengan motor belakang silikon karbida 310kW. Terdapat dua pilihan kuasa iaitu pacuan roda belakang (RWD) dengan motor 310kW (tork 440Nm) dan pacuan semua roda (AWD) dengan motor depan tambahan 165kW, memberikan output maksimum 475 kW (637hp) dan tork puncak 710Nm.

Pacuan RWD boleh memecut 0-100kmj dalam tempoh 5.4 saat, manakala Performance AWD dalam 2.84 saat.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here