
BMW Malaysia membuka tirai Malaysia Autoshow 2025 dengan pengenalan 330Li M Sport, iaitu sedan sporti long wheelbase (jarak roda panjang). Model ini juga meraikan lima dekad jenama BMW serta tujuh generasi 3-Series.
BMW 330Li M Sport dilengkapi dengan kidney grille Pearl Chrome, lampu LED adaptif lebih nipis, sementara jarak roda panjang menjanjikan keselesaan tambahan untuk penumpang belakang.
Kabin 330Li M Sport pula didatangkan dengan BMW Curved Display yang merangkumi paparan 12.3-inci untuk pemandu dan paparan 14.9-inci sebagai unit infotainmen. Kedua-dua ini menggunakan BMW Operating System 8.5 terkini.
Sedan ini juga mendapat kemasan Galvanic Embellisher untuk Controls, elemen kristal Crafted Clarity pada tombol iDrive, dan sistem audio premium Harman Kardon Surround Sound dengan 16 pembesar suara.
Nadi kepada jentera ini ialah enjin 2.0-liter petrol 4-silinder berkuasa 258hp dan 400Nm, memberikan pecutan 0-100 dalam 6.2 saat dan kelajuan maksima 250km/j.
Ciri lain pada 330Li termasuklah Active Cruise Control dengan Stop&Go, Parking Assistant Plus, dan Tyre Pressure Indicator.
BMW 330Li M Sport boleh didapati dalam tiga pilihan warna; Carbon Black, M Brooklyn Grey, dan Arctic Race Blue. Ini boleh dipadankan dengan pilihan kemasan kulit Leather Vernasca Mocha atau Leather Vernasca Cognac.
Sedan ini boleh menjadi milik anda pada harga RM320,800, dan setiap tempahan yang dibuat antara 1 hingga 31 Mei 2025, layak mendapat BSI Extension 1-tahun, dan subsidi insurans Easy Drive bernilai RM5,000.
Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, berkata, “Dengan BMW 330Li M Sport Baharu, model ini menjadi lambang sempurna warisan kebanggaan BMW sambil memenuhi jangkaan tinggi pemandu pada hari ini.”