
Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta berkunci yang enjinnya masih hidup di belakang deretan kedai di Taman Ara Mutiara di Butterworth malam Rabu.
Mangsa berusia 34 tahun ditemui tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu kenderaan Mazda CX-5.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.50 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba pada jam 9.03 malam, pasukan mendapati pintu kereta tersebut berkunci dan mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan bomba kemudiannya membantu polis membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas. Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.35 malam dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia di dalam rumahnya yang berkunci di Flat 100, Sungai Pinang.
Mangsa dikenali sebagai Chew Sze Sun, 72, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pasukan penyelamat selepas pintu kediamannya berjaya dibuka menggunakan peralatan khas.
John berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.45 tengah malam dan sepasukan anggota dari BBP Jalan Perak tiba di lokasi enam minit kemudian.
“Operasi membuka pintu dijalankan menggunakan peralatan khas. Seorang lelaki warga emas ditemukan di dalam rumah dan disahkan telah meninggal dunia oleh petugas KKM yang turut berada di lokasi,” katanya.
Tambah beliau, operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.15 pagi dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.