
Honda HR-V generasi ketiga telah mengukuhkan posisinya antara SUV segmen-B popular di Malaysia sejak diperkenalkan pada 2022.
Honda Malaysia telah menjual sebanyak 170,000 unit HR-V dengan perkongsian pasaran SUV segmen B bukan nasional sebanyak 41 peratus (Januari-Mei 2025).
Seiring dengan keperluan kitaran produk, tiba masanya model itu menerima penambahbaikan signifikan agar kekal relevan dan segar setelah tiga tahun di pasaran.
Honda Malaysia rasmi memperkenalkan HR-V facelift dengan naik taraf signifikan melibatkan ciri peralatan dalam kabin dan kemas kini luaran.
Sebelum itu, jom kita lihat dulu tawaran varian di pasaran tempatan :
- HR-V 1.5L S : RM115,900
- HR-V 1.5L turbo E : RM130,900
- HR-V 1.5L turbo V : RM137,900
- HR-V 1.5L e:HEV RS : RMRM143,900
Sementara itu, bahagian mekanikal kekal tidak berubah yang mana masih menawarkan pilihan enjin aspirasi semula jadi (NA), turbo dan hibrid bersama transmisi CVT.
• Aspirasi semulajadi (NA): Enjin yang responsif dan efisien untuk pemanduan harian yang lancar. Enjin 1.5 liter NA menawarkan output 121PS @ 6,600rpm dan tork 145Nm @ 4,300rpm.
• Turbo: Nikmati pecutan dan kuasa yang lebih tinggi untuk pengalaman pemanduan lebih dinamik. Enjin 1.5 liter turbo menawarkan output 181PS @ 6,000rpm dan tork 240Nm @ 1,700‑4,500rpm.
• e:HEV (Hybrid Electric Vehicle): Rangkaian kuasa hibrid yang menggabungkan prestasi dengan penjimatan bahan api yang optimum serta pelepasan karbon yang rendah. Enjin 1.5 liter bersama motor elektrik menawarkan kuasa berprestasi menerusi output keseluruhan 238PS dan tork 384Nm.
NAIK TARAF CIRI PERALATAN
Honda HR-V facelift tampil dengan reka bentuk luaran yang lebih menarik bersama kabin yang praktikal bagi keluarga kecil menerusi kemas kini :
- Sentuhan moden dapat dilihat pada gril hadapan baharu yang lebih lebar
- Rekaan semula profil bampar depan
- Varian RS didatangkan dengan gril depan krom sporty, lencana RS bersama cermin sisi boleh lipat automatik
- Reka bentuk baharu rim aloi 18-inci dengan dua tona warna menggantikan warna kelabu sebelumnya
- Lampu belakang LED penuh yang lebih ‘slim’
- Kokpit yang berorientasikan pemandu menampilkan storan konsol tengah yang direka semula dan tawaran port pengecasan USB jenis C dan A di hadapan serta dua port USB-C di belakang memastikan setiap penumpang sentiasa terhubung.
- Paparan audio 8-inci jenis terapung yang kini disokong dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
- Pengalaman pemanduan kini dipertingkatkan menerusi tempat duduk sporty dengan sulaman logo RS eksklusif dan kawalan penukar gear di belakang stereng
- Ia kemudian dilengkapkan dengan pendingin hawa automatik dwi-zon dan Sistem Aliran Udara (Air Diffusion System) bagi mengekalkan suhu kabin yang selesa serta memastikan pengedaran udara yang lebih sekata.
Perjalanan jauh menjadi semakin premium dan tidak membosankan dengan adanya lapan pembesar suara yang menyajikan audio berkualiti tinggi.
Apabila menyentuh aspek praktikaliti, Honda masih mempertaruhkan konsep tempat duduk utiliti pelbagai konfigurasi yang ikonik untuk membawa pelbagai barangan.
Selain itu, Honda HR-V facelift juga dilengkapi dengan Remote Engine Start, Walk Away Auto Lock serta fungsi bukaan pintu but tanpa sentuhan serta Walk Away Close.
Selain fungsi seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low-Speed Follow, ciri baharu yang diperkenalkan adalah Adaptive Driving Beam (ADB) yang akan melaraskan lampu agar tidak menyilaukan pemandu lain serta Active Cornering Lights (ACL) untuk pencahayaan lebih baik semasa membelok.
Tidak ketinggalan, tawaran Honda CONNECT memastikan pemilik kekal terhubung dengan kereta menerusi pelbagai ciri keselamatan melalui akses di telefon pintar.
Versi facelift itu juga menawarkan warna badan baharu iaitu Phoenix Orange Pearl dan Crystal Black Pearl.