
Volkswagen menetapkan hala tuju baharu dalam penamaan model dengan memindahkan nama-nama model enjin pembakaran dalaman (ICE) yang ikonik ke dalam keluarga kenderaan elektrik, iaitu siri ID.
Model pertama yang akan memulakan era baharu ini adalah ID. Polo yang dijadualkan dilancarkan pada tahun 2026. Model ini merupakan versi produksi dari kereta konsep ID. 2all.
Menurut Thomas Schäfer, CEO jenama Volkswagen dan ahli Lembaga Pengurusan Kumpulan, nama-nama model sedia ada telah tertanam kukuh dalam fikiran orang ramai dan melambangkan kualiti, reka bentuk timeless, serta teknologi yang boleh diakses oleh semua.
Oleh itu, langkah ini adalah untuk membawa nama-nama yang sudah dikenali ini ke masa depan, dan ID. Polo hanyalah permulaan.
Strategi ini akan diteruskan dengan setiap generasi model baharu, di mana lebih banyak nama popular akan dipindahkan ke portfolio kenderaan elektrik.
Pada masa yang sama, model dengan enjin konvensional akan terus menggunakan nama asal.
Pendekatan ini bertujuan untuk menyatukan dunia kenderaan elektrik dan enjin pembakaran dalaman, sekaligus memudahkan pelanggan menavigasi rangkaian produk jenama tersebut.
Nama ID. melambangkan teknologi canggih dan mobiliti elektrik, manakala nama Polo pula sinonim dengan kualiti, keselamatan dan inovasi untuk orang ramai.
ID. Polo baharu menggabungkan kedua-dua ciri tersebut dan akan dilancarkan pada ulang tahun ke-50 Polo dan sebagai model pertama yang menggunakan strategi ini.
Martin Sander turut mengumumkan bahawa salah satu jenama terkuat Volkswagen iaitu GTI, akan dibawa ke dunia elektrik.
Model konsep ID. GTI Concept akan mula dikeluarkan pada tahun 2026 sebagai ID. Polo GTI, menjanjikan dinamik luar biasa dan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.
ID. Polo dan ID. Polo GTI yang masih dalam penyamaran akan membuat penampilan awam pertama di IAA MOBILITY di Munich dari 8 hingga 14 September.
Pada 7 September, Volkswagen akan melancarkan kenderaan konsep SUV kompak elektrik baharu, ID. CROSS Concept.
Versi produksi iaitu ID. Cross, akan dilancarkan pada akhir 2026 sebagai padanan elektrik kepada T-Cross.
Pengenalan kenderaan yang lebih kecil dan kompak dalam keluarga elektrik Volkswagen menandakan permulaan era baharu yang menjadikan pemanduan elektrik lebih mampu milik, terutamanya dengan kemunculan model seperti ID. Polo dan ID. Cross.
Siri ID. diperkenalkan pada 2018. Model pertama yang dilancarkan ialah ID.3, diikuti model-model lain yang dibezakan mengikut segmen kenderaan.
Model terbesar, ID.7, yang tersedia dalam varian sedan dan wagon, kini merupakan peneraju pasaran di Jerman dan Eropah.
Volkswagen ID. Polo
Volkswagen ID. Polo GTI