Utama Berita Automotif MODA Moca 2025 – Skuter retro moden 110cc lancar di Malaysia, Harga...

MODA Moca 2025 – Skuter retro moden 110cc lancar di Malaysia, Harga RM3,988

28

MDua Motor Sdn Bhd memperkenalkan model terbaharu, MODA Moca, sebuah skuter 110cc rekaan untuk penunggang bandar yang mahukan tunggangan ceria, bergaya dan praktikal.

Menggabungkan inspirasi retro dengan sentuhan moden, Moca tampil dengan reka bentuk klasik ikonik yang sejak dulu sinonim dengan kebebasan dan personaliti di jalanan. 

Lengkungan badan, garisan bersahaja serta warna-warna ekspresif menjadikan Moca bukan sekadar kenderaan harian, tetapi juga cerminan gaya hidup moden.

Moca hadir dengan tiga pilihan warna menarik: Neon Orange untuk yang berani, Piano Black untuk penampilan klasik abadi, dan Ocean Blue untuk mereka yang ceria dan segar. Beratnya hanya 89 kg, menjadikan ia mudah dikawal di jalan sibuk bandar, lorong sempit atau parkir ketat.

Antara ciri praktikal termasuk ruang simpanan di bawah pelana, rak belakang dengan cangkuk untuk barangan, paparan meter digital, brek cakera hadapan, serta lampu LED depan dan belakang untuk keselamatan tambahan.

Di bawah pelana, Moca dikuasakan enjin empat lejang SOHC 108cc dengan suntikan bahan api elektronik (Fi) yang menghasilkan kuasa 8 hp pada 7,500 rpm dan tork 8.5 Nm pada 6,500 rpm.

Enjin sejukan udara itu dipadankan dengan transmisi CVT, sesuai untuk kegunaan bandar yang memerlukan tunggangan lancar dan mudah.

Suspensi teleskopik di hadapan dan sistem hayunan di belakang memastikan perjalanan stabil, manakala tayar tubeless bersaiz 10 inci menambah keyakinan.

MODA Moca ditawarkan harga RM3,988 (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran) untuk pasaran Semenanjung Malaysia. Ia turut hadir dengan pakej jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km.

Bagi yang mahukan sentuhan lebih peribadi, MDua Motor turut menyediakan aksesori tambahan seperti penghadang angin hadapan, kotak simpanan belakang dan pelbagai pilihan gaya hidup lain yang akan ditawarkan kelak.

Dengan gabungan harga mampu milik, rekaan retro moden, prestasi praktikal dan ciri keselamatan semasa, MODA Moca bakal menjadi pilihan ideal bagi mereka yang mahu skuter bandar ringkas, bergaya dan penuh personaliti.

Galeri Gambar: 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here