Cuba seludup warga asing guna laluan khas KLIA, penyelia lounge ditahan

11

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menahan seorang wanita tempatan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing ke negara ini, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada 15 Oktober lalu. 

Menurut AKPS, siasatan awal mendapati wanita itu merupakan penyelia lounge di Kuala Lumpur Airport Hotel Sdn Bhd (KLAH) dan cuba membawa masuk enam penumpang warga Indonesia menggunakan slip kemudahan laluan khas bagi membolehkan mereka melepasi pemeriksaan imigresen.

“Difahamkan, wanita berusia 34 tahun itu menerima sejumlah bayaran bagi setiap penumpang yang berjaya dibawa masuk. Aktiviti ini dipercayai dilakukan tanpa pengetahuan majikan dan semasa cuti,” menurut kenyataan. 

Hasil maklumat lanjut mendapati beberapa individu lain yang juga pekerja KLAH dan FTCO Consultancy Sdn Bhd turut dipercayai terlibat dalam mengatur kemasukan warga asing menggunakan modus operandi yang sama.

“Aktiviti itu dipercayai telah berlanjutan lebih setahun, melibatkan warga asing dari Indonesia, China, Vanuatu, Kemboja dan Laos. 

“Wanita berkenaan ditahan di bawah Seksyen 26A, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 [Akta 670] dan kini di reman di Lokap Aeropolis untuk siasatan lanjut,” jelasnya. 

Manakala, enam warga Indonesia berkenaan ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] dan kini ditempatkan di depot tahanan imigresen Putrajaya .

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here