
Polis mengesahkan seramai enam individu cedera termasuk seorang patah kaki dalam satu kemalangan melibatkan empat kenderaan di simpang empat lampu isyarat Jalan Bukit Cerakah/Jalan Seri Jaya, Meru, Klang, pagi Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Pemangku Superintendan Mohd Rahimi Zainol berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kemalangan pada jam 10 pagi melibatkan empat kenderaan iaitu dua buah kereta dan dua buah lori di Jalan Bukit Cerakah menghala ke Jalan Seri Jaya.
“Hasil siasatan awal dijalankan, polis mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 8.57 pagi, apabila lori yang membawa muatan tanah menuruni bukit hilang kawalan sebelum terbabas dan menggelongsor ke kanan lalu melanggar ketiga-tiga kenderaan yang berada di laluan kanan.
“Siasatan mendapati, seramai tujuh individu terlibat dalam kemalangan ini. Semua mangsa dihantar ke hospital berlainan iaitu Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Shah Alam,” katanya.