
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor menyita sebuah lori yang dipandu warga asing dalam ‘Ops Perang Lebih Muatan’ semalam.
Justeru itu, kenderaan yang dipandu warga asing telah diarahkan disita serta-merta dan dibawa ke Stesen Penguatkuasaan (SPK) Elmina Utara untuk tindakan lanjut.
Operasi yang dijalankan di Jalan Sungai Buloh itu memfokuskan kepada kenderaan komersial yang dikesan melanggar pelbagai peraturan dan undang-undang jalan raya.
Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa mengesan lima kesalahan serius yang dilakukan iaitu :
- Lebih Muatan
- Tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL)
- Tiada Lesen Memandu Vokasional (GDL)
- Lesen Kenderaan Motor (LKM) Tamat Tempoh
- Tiada Pemeriksaan Puspakom yang sah
JPJ Negeri Selangor dalam kenyataannya menegaskan bahawa jabatan itu sentiasa mengambil perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan awam.
“JPJ komited memastikan kenderaan di jalan raya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan demi keselamatan semua pengguna,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan kesalahan lalu lintas boleh menyalurkannya kepada pihak JPJ melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau menggunakan platform aplikasi e-aduan, bersama butiran pengadu dan butiran aduan yang lengkap.