Tayar pecah, ‘stering terkunci’ punca treler rempuh kereta

35

Seorang lelaki parah apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di KM56.9 Lebuhraya Utara-Selatan, pada tengah hari Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, kejadian dipercayai berlaku pada jam 12 melibatkan Honda Civic dengan treler jenis Volvo.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar hadapan sebelah kanan treler tersebut pecah secara tiba-tiba hingga menyebabkan stering terkunci.

“Akibat kehilangan kawalan, treler tersebut bergerak masuk ke lorong kanan dan menghimpit serta melanggar kereta mangsa sebelum melanggar besi penghadang jalan.

“Keadaan itu menyebabkan pemandu kereta mengalami kecederaan serius pada bahagian leher dan patah kaki kanan serta dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang bagi menerima rawatan,” katanya.

Jelas beliau, mangsa kini berada dalam pemantauan pihak hospital sementara pemandu treler, berusia 48 tahun tidak mengalami kecederaan.

Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap pemandu lori itu juga didapati negatif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pengguna jalan raya juga diingatkan agar memastikan keadaan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik bagi mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here