Perodua perjelas pelan bateri QV-E tidak kenakan syarat patuh Syariah

4

Perodua menyatakan berlaku salah faham komunikasi dalaman khususnya melibatkan klausa patuh syariah di bawah terma dan syarat pelan perkhidmatan ‘Battery as a Service’ (BaaS) yang tersebar di media sosial.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad menjelaskan pihaknya sama sekali tidak berniat untuk mengenakan syarat patuh syariah kepada pelanggan semasa menggunakan kenderaan mereka.

Perincian Pelan Pajakan Bateri QV-E Didorong Konsep Ijarah

Susulan itu, Perodua berkongsi dokumen Product Disclosure Sheet (PDS) yang memberikan perincian lanjut mengenai Pelan Pajakan Bateri untuk model Perodua QV-E.

Menurut dokumen tersebut, pelan itu adalah perjanjian pajakan Bateri yang disifatkan patuh syariah antara Perodua Sales Sdn Bhd dan pelanggan di bawah konsep Ijarah Operasi.

Di bawah konsep ini:

  • Perodua memajakkan unit bateri kepada pelanggan untuk digunakan dalam Perodua QV-E.
  • Pelanggan membayar sewa pajakan bulanan untuk tempoh sembilan tahun atau 108 bulan.
  • Pemilikan bateri kekal milik Perodua pada setiap masa, manakala pelanggan hanya memiliki hak guna.
  • Kenderaan (Perodua QV-E) dijual secara berasingan dan bukan sebahagian daripada pajakan bateri.
  • Pada hujung tempoh pajakan, pemilik boleh memulangkan bateri kepada Perodua atau menyambung tempoh pajakan bateri bagi tempoh kedua.

Bayaran dan Tanggungjawab Utama Pelanggan

Pelan ini menetapkan beberapa caj utama:

Item Perincian
Sewa Pajakan Awal Bersamaan 3 bulan sewa atau RM825 (tidak termasuk 8% SST), dibayar semasa pelaksanaan perjanjian. Ia akan digunakan untuk menampung sewa 3-bulan terakhir.
Sewa Pajakan Bulanan Amaun tetap bulanan RM275 (tidak termasuk 8% SST), perlu dibayar sebelum atau pada hari ke-5 setiap bulan.
Yuran Pampasan Yuran 1% setahun akan dikenakan atas amaun tertunggak bagi pembayaran pajakan bulanan yang lewat atau terlepas. Jika pajakan ditamatkan, yuran pampasan akan dikenakan ke atas sebarang jumlah yang tertunggak dan belum dibayar sehingga bateri diambil semula oleh Perodua.

Jaminan Bateri 70% SOH, Perodua Tetapkan Garis Panduan Ketat 

Perodua juga menetapkan satu set obligasi yang jelas bagi pelanggan di samping menawarkan jaminan prestasi dan perlindungan yang menyeluruh.

Dokumen rasmi yang dikeluarkan menggariskan tanggungjawab utama pelanggan serta risiko yang akan dihadapi sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

Perodua memberi jaminan prestasi utama bagi unit pajakan bateri:

  • Jaminan Kesihatan Bateri (SOH): Perodua menjamin bateri akan mengekalkan minimum 70% SOH sepanjang tempoh pajakan. 
  • Penggantian Percuma: Jika SOH jatuh di bawah 70%, Perodua akan menggantikan tanpa kos (tertakluk kepada tiada tunggakan sewa dan pematuhan pelanggan terhadap obligasi).
  • Perlindungan Takaful: Perlindungan takaful untuk unit bateri dikendalikan dan diuruskan oleh Perodua. Liputan takaful pelanggan untuk kenderaan akan mengecualikan unit bateri.
  • Servis Percuma: Servis Bateri dimasukkan tanpa kos, namun caj tambahan dikenakan bagi penyalahgunaan, pembaikan tanpa kebenaran, atau ketidakpatuhan.

Obligasi Utama Pelanggan

Pelanggan yang menyertai pelan pajakan ini terikat kepada beberapa tanggungjawab penting:

  • Pembayaran Sewa: Membayar ansuran bulanan pada atau sebelum tarikh akhir setiap bulan.
  • Penggunaan Bateri: Bateri mesti digunakan hanya dalam Perodua EV milik pelanggan. Pelanggan perlu mengoperasi, mengecas, dan menyelenggara bateri mengikut manual pemilik.
  • Penyelenggaraan: Pelanggan mesti mematuhi jadual servis bateri/kenderaan Perodua. Kos servis dan penyelenggaraan kenderaan biasa ditanggung oleh pelanggan. Servis bateri mesti dilakukan hanya di pusat servis sah Perodua.
  • Pemberitahuan Segera: Pelanggan wajib memaklumkan Perodua dengan segera sekiranya berlaku kemalangan, kerosakan, kecurian, kebakaran, atau jika kenderaan/bateri diisytiharkan kerugian total.

Larangan dan Akibat Ketidakpatuhan

Perodua turut menyatakan pelanggan dilarang sama sekali daripada menjual, menyewakan, memindahkan, mengubah suai, atau cuba membaiki bateri. Bateri juga tidak boleh digunakan untuk tujuan e-hailing, penghantaran, komersial, atau tujuan yang menyalahi undang-undang.

Selain itu, jika bateri digantikan kerana kesalahan atau kecuaian pelanggan (bukan kecacatan pengeluar), Perjanjian Pajakan Bateri yang asal akan ditamatkan, dan pelanggan perlu memeterai perjanjian baharu dengan Perodua.

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here