
Kempen ulang tahun ke-25 Honda Malaysia mengumumkan dua pemenang awal untuk cabutan “Because of You”.
Untuk pusingan pertama, dua model varian RS membabitkan City Hatchback RS dan WR-V RS diserahkan kepada pelanggan terpilih dalam satu majlis yang diadakan khusus bagi menghargai sokongan pengguna selama ini.

Pemenang City Hatchback RS, Chin Boon Hao dari Perak, menyertai kempen terbabit selepas membeli Civic RS.
Chin menjelaskan bahawa Civic sudah lama menjadi pilihan kerana reka bentuknya yang lebih matang serta prestasi yang mengekalkan identiti model itu.
Dia hampir tidak mempercayai panggilan memaklumkan kemenangannya. Selepas pengesahan dibuat, Chin teruja untuk menggunakan kedua-dua model Honda itu. Ia satu sebagai sedan prestasi harian dan satu lagi hatchback yang lebih padat dan serba guna.

Hadiah kedua, WR-V RS diberikan kepada Avis Ou Xiao Qian, selepas membeli CR-V. Walaupun beliau tidak dapat hadir, hadiah itu diterima oleh suaminya, Liew Jeng Siong, yang hadir dari Sarawak sebagai wakil penerima.
Menurut Ou, CR-V menjadi pilihan kerana menawarkan gabungan ruang, keselesaan dan reka bentuk yang sesuai untuk kegunaan keluarga.
Dengan kemenangan WR-V RS, keluarga mereka kini mempunyai dua SUV Honda yang memenuhi keperluan berbeza. Satu lebih besar untuk perjalanan jauh, satu lebih kompak untuk kegunaan bandar.

City Hatchback RS dan WR-V RS adalah dua daripada enam model yang dijadualkan untuk diberikan sepanjang kempen “Because of You”. Program itu dijalankan sempena 25 tahun Honda Malaysia beroperasi dan berkhidmat kepada pelanggan di negara ini.
Pengumuman pemenang lain akan diteruskan dalam siri cabutan seterusnya yang berlangsung hingga penghujung kempen.






























