
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi memuji Malaysia dan beberapa negara Asia lain selepas berjaya menghasilkan kereta kompak yang kecil serta comel.
Perkara itu dinyatakan Trump pada satu sidang akhbar di Pejabat Oval, Rumah Putih, Washington, AS hari ini.
Trump berkata, beliau mahu kereta kompak seperti yang dilihat semasa melawat Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara lain sebelum ini dibina di AS.
“Jika anda pergi ke Jepun, Korea Selatan dan Malaysia, mereka mempunyai kereta yang sangat kecil dan benar-benar comel.
“Saya tanya, kalau model begini (kereta kompak) dijual di negara kita (AS) bagaimana sambutannya? Ramai kata ia akan laris, tetapi pembuatannya tidak dibenarkan.
“Saya sudah memberi kuasa kepada Setiausaha (Jabatan Pengangkutan) untuk meluluskan pengeluaran kereta berkenaan dengan segera, jadi rakyat akan dapat membelinya,” katanya menerusi satu klip video yang tular di laman sosial.
Trump berkata, beliau yakin kereta kecil berkenaan akan mendapat sambutan hangat serta pasaran yang besar.
“Kereta berkenaan sangat baik, lebih murah dan memberi peluang kepada rakyat untuk memiliki kereta baharu berbanding kereta lama yang mungkin kurang memuaskan. Syarikat automotif kini boleh mula mempertimbangkan peluang ini,” katanya.
ARTIKEL LAIN
Wanita di Malta kongsi beli Perodua Kelisa, harga lagi murah dari Malaysia






























