
Harga mainan Hot Wheels mungkin akan menjadi mimpi ngeri buat golongan pengumpul di Amerika Syarikat kesan daripada tarif yang dikenakan oleh presiden Donald Trump.
Khamis lalu, presiden Amerika mengancam untuk mengenakan tarif 100 peratus kepada Mattel selaku syarikat induk Hot Wheels selepas CEO syarikat itu berjanji untuk meluaskan produksi produknya ke negara lain.
“Biarkan mereka pergi dan kita akan meletakkan tarif 100 peratus ke atas produk mainannya, dan dia tidak akan menjual satu pun mainan di United States, pasaran terbesar mereka,” Trump memberitahu pemberita di Rumah Putih.
Kenyataan itu dibuat sebagai satu respons kepada temubual CNBC bersama CEO dan pengerusi Mattel Ynon Kreiz.
Menurut Kreiz, buat masa ini pihaknya tidak berminat untuk mengalihkan produksi ke Amerika Syarikat.
Sebaliknya, mereka mahu meluaskan produksi ke negara-negara lain untuk mengelakkan tarif 145 peratus ke atas import dari negara China.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan menaikkan harga jualan untuk golongan pembeli di Amerika.
“Kita harus ingat, sebahagian besar daripada penghasilan produk mainan kami berlaku di Amerika,” Kreiz memberitahu CNBC.
“Rekaan, pembangunan, kejuruteraan dan pengurusan jenama – semuanya dibuat di Amerika. Dengan menghasilkan produk di negara lain membenarkan kami untuk mencipta produk berkualiti pada titik harga yang lebih mampu milik.
Mattel menghasilkan sebilangan besar produk Hot Wheels di Malaysia, serta negara-negara lain seperti Thailand, Indonesia dan juga China.
Buat masa ini, hanya 20 peratus daripada produksi mainan Mattel datangnya dari kilang China.
Kreiz mahu menurunkan angka tersebut kepada 15 peratus menjelang tahun depan, dan 10 peratus pada tahun 2027.