Utama Berita Automotif Acura Integra Type S dan Passport bakal masuk Jepun, potensi unit recond...

Acura Integra Type S dan Passport bakal masuk Jepun, potensi unit recond ke Malaysia!

6

Honda secara rasmi mengumumkan keputusan untuk memperkenalkan dua model yang dikeluarkan di Amerika Syarikat ke pasaran Jepun.

Model yang dimaksudkan ialah Acura Integra Type S dan Honda Passport Trailsport Elite.

Langkah itu sebahagian strategi Honda bagi memperkukuh barisan produk di Jepun dengan menawarkan model yang sebelum ini hanya tersedia untuk pasaran luar negara.

Kemasukan model ini dijadualkan bermula secara berperingkat pada separuh kedua tahun 2026.

Keputusan ini juga dijayakan melalui pemanfaatan sistem pensijilan baharu bagi kenderaan penumpang buatan Amerika Syarikat yang diperkenalkan oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun.

Dengan ini, Honda dapat memenuhi kepelbagaian keperluan pelanggan di Jepun dengan lebih berkesan menerusi model yang mempunyai identiti yang unik.

Secara tidak langsung, penawaran di Jepun juga membuka potensi untuk Acura Integra Type S dibawa masuk ke pasaran tempatan oleh pengimport bebas.

Integra merupakan model yang popular di kalangan peminat kereta Jepun dan berprestasi. Integra Type S boleh diibaratkan sebagai Civic Type R versi mewah.

Sambutan Hangat di Pameran Automotif Jepun

Sebelum pengumuman rasmi ini dibuat, kedua-dua model berkenaan telah dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2026 dan Osaka Auto Messe 2026 awal tahun ini.

Kehadiran Integra Type S dan Passport di ruang pameran tersebut telah menarik perhatian pengunjung.

Maklum balas positif dan permintaan yang besar daripada orang awam untuk ditawarkan secara rasmi di Jepun menjadi antara faktor penggerak kepada keputusan Honda.

Sebagai maklumat tambahan, Acura merupakan jenama prestasi premium di bawah Honda yang ditubuhkan pada tahun 1986.

Jenama ini memfokuskan kepada pasaran Amerika Utara dengan mementingkan aspek kualiti pemanduan dan kemewahan yang tinggi.

Acura Integra Type S Model Prestasi Tinggi

Acura Integra Type S yang akan dibawa masuk merupakan varian berprestasi tinggi bagi model Integra yang sedang dijual di Amerika Utara.

Ia direka untuk memberikan keseimbangan antara imej premium Acura dan penampilan yang agresif di jalanan raya.

Model ini dihasilkan di Marysville Auto Plant yang merupakan sebahagian daripada rangkaian Honda Development and Manufacturing of America, LLC.

Rangkaian Kuasa Acura Integra Type S

Integra Type S dikuasakan oleh enjin 2.0 liter VTEC Turbo yang dipadankan dengan transmisi manual 6 kelajuan.

Setara dengan Civic Type R, enjin ini menghasilkan kuasa 324 ps pada 6,500 rpm dan tork maksimum 420 Nm pada 2,600 hingga 4,000 rpm.

Sistem pacuan yang digunakan adalah pacuan roda hadapan atau FF.

Spesifikasi Teknikal Acura Integra Type S

  • Enjin:2.0L VTEC Turbo
  • Sistem pacuan: FF
  • Transmisi: Manual 6 kelajuan
  • Kuasa maksimum: 324 ps @ 6,500 rpm
  • Tork maksimum: 420 Nm @ 2,600-4,000 rpm
  • Ukuran: 4,725 mm (Panjang), 1,900 mm (Lebar) dan 1,407 mm (Tinggi)
  • Jarak kelegaan tanah: 102 mm
  • Berat: 1,460 kg

Honda Passport Trailsport Elite

Bagi peminat SUV, Honda akan memperkenalkan Passport dalam varian tertinggi iaitu Trailsport Elite.

Model ini dikenali sebagai SUV bersaiz besar yang mempunyai keupayaan off-road namun tetap menawarkan keselesaan pemanduan di atas jalan raya biasa.

Passport Trailsport Elite dihasilkan di Alabama Auto Plant di Amerika Syarikat.

Rangkaian Kuasa Honda Passport Trailsport Elite

SUV ini menggunakan enjin V6 3.5 liter dengan transmisi automatik 10 kelajuan.

Dari segi prestasi, ia menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 289 ps pada 6,100 rpm dan tork maksimum 355 Nm pada 5,000 rpm melalui pacuan empat roda atau 4WD.

Spesifikasi Teknikal Honda Passport Trailsport Elite

  • Enjin: V6 3.5L
  • Sistem pacuan: 4WD
  • Transmisi: Automatik 10 kelajuan
  • Kuasa maksimum: 289 ps @ 6,100 rpm
  • Tork maksimum: 355 Nm @ 5,000 rpm
  • Ukuran: 4,864 mm (Panjang), 2,017 mm (Lebar) dan 1,857 mm (Tinggi)
  • Jarak kelegaan tanah: 211 mm
  • Berat: 2,134 kg

Acura Integra Type S

Honda Passport Trailsport Elite

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here