
Tindakan dua pemandu bas ekspres Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara) menggunakan kenderaan syarikat untuk membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar selepas perbuatan mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam bas.
Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail berkata pihak syarikat segera mengambil tindakan tegas dengan menggantung tugas sebelum memecat kedua-dua pemandu terbabit kerana menyalahgunakan kenderaan syarikat untuk kegiatan haram.
“Perbuatan itu terbongkar selepas pihak pengurusan meneliti rakaman CCTV. Selepas semua bukti diperoleh, pihak syarikat telah memanggil pemandu berkenaan dan mengeluarkan surat tunjuk sebab,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, kedua-dua pemandu berusia lingkungan 40-an itu terus menghilangkan diri sejurus diberikan surat tunjuk sebab.
Susulan kejadian itu, pihak syarikat membuat laporan polis bagi melindungi kepentingan syarikat dan pada masa sama mengelakkan sebarang salah faham.
Menurut Che Ibrahim, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pemandu yang mengambil PATI di lokasi tertentu selepas membuat perjanjian dengan ejen penyeludupan.
“Malah ada juga pemandu yang membenarkan individu terbabit menaiki bas tanpa tiket apabila bayaran diserahkan terus kepada mereka.
“Bayaran itu tidak direkodkan kerana ia dimasukkan terus ke dalam poket pemandu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan dua pemandu syarikat berkenaan sebelum ini pernah dipenjarakan selama tiga tahun selepas didapati bersalah membawa PATI.
Sehubungan itu, Che Ibrahim menyambut baik langkah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membangunkan sistem pangkalan data pemandu kenderaan berat termasuk bas ekspres bagi mengekang pengambilan pemandu bermasalah oleh syarikat pengangkutan.
Katanya, sistem tersebut membolehkan majikan menyemak rekod lampau seseorang pemandu dengan lebih cepat sebelum diambil bekerja.
“Jika ada pangkalan data yang lengkap, syarikat boleh menyemak rekod kesalahan pemandu dan mengelakkan individu yang pernah terlibat dengan jenayah daripada terus bekerja dalam industri ini.
“Di pihak syarikat, kita sentiasa memberi peringatan kepada semua pemandu supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak terlibat dengan kegiatan jenayah,” katanya.































