
Honda Jepun akan melancarkan versi kemas kini skuter gaya pengembaraan Honda ADV 160 pada 21 Mei.
Model ini menerima peningkatan dari segi kelengkapan teknologi serta perubahan pada reka bentuk luaran bagi meningkatkan lagi daya tarikan dan kegunaan harian.
Sebelum Jepun, Honda terlebih dahulu memperkenalkan ADV 160 yang dipertingkat di Indonesia pada September 2025.
Rekaan Luaran dan Pilihan Warna
Bahagian badan Honda ADV 160 kini diberikan nafas baharu dengan perubahan bentuk pada bahagian penutup sisi hadapan yang lebih berlekuk.
Untuk model 2026 Honda menawarkan tiga pilihan warna iaitu Matte Pearl Agile Blue yang memberikan imej sporti dan Matte Gunpowder Black Metallic dengan imej lasak.
Selain itu warna Pearl Smoky Gray turut ditawarkan untuk gaya urban yang lebih moden.
Ketersambungan Pintar san Teknologi Paparan
Satu lagi perubahan ketara pada ADV 160 2026 adalah pengenalan fungsi ketersambungan telefon pintar Honda RoadSync.
Sistem ini dipadankan dengan meter TFT warna penuh bersaiz 5 inci yang baharu.
Melalui sambungan telefon pintar, penunggang boleh mengendalikan aplikasi seperti navigasi dan pemain muzik melalui suis pada hendal atau suara melalui set kepala.
Aplikasi khusus diperlukan untuk menggunakan fungsi ini dan ketersediaan kandungan bergantung kepada jenis aplikasi serta versi sistem operasi telefon pintar tersebut.
Ciri Kemudahan dan Keselesaan
Bagi menyokong keperluan gaya hidup moden, ADV 160 2026 dilengkapi soket USB Jenis-C yang terletak di dalam kotak simpanan hadapan untuk pengecasan peranti.
Sistem Honda SMART Key turut disertakan sebagai ciri standard yang memudahkan urusan menghidupkan enjin serta membuka kunci pelana.
Segala kelengkapan ini direka untuk meningkatkan tahap praktikaliti sama ada untuk kegunaan ulang alik harian mahupun aktiviti jelajah.
Rangkaian Kuasa
ADV 160 2026 dikuasakan enjin KF54E 156 cc silinder tunggal OHC 4-injap dengan sistem sejukan cecair.
Unit ini menghasilkan output maksimum sebanyak 16 ps pada 8,500 rpm dan tork maksimum 15Nm pada 6,500 rpm.
Model ini mencatatkan penggunaan bahan api 52.0 km/l pada kelajuan tetap 60 km/j dengan dua penumpang dan 42.5 km/l berdasarkan nilai mod WMTC.
Kapasiti tangki bahan api adalah sebanyak 8.1 liter
Harga ADV 160 2026 dan Sasaran Jualan di Jepun
ADV 160 2026 ditawarkan pada harga 539,000 yen (RM13,415) dan Honda mensasarkan jualan domestik sebanyak 4,100 unit setahun.
Harga tersebut tidak jauh beza daripada ADV 160 2025 pasaran tempatan yang bermula daripada RM13,249.
Spesifikasi Teknikal Honda ADV 160 2026 Jepun
- Enjin 156 cc sejukan cecair 4-lejang OHC 4-injap tunggal silinder
- Output maksimum 16 ps@8,500 rpm
- Tork maksimum 15Nm@6,500 rpm
- Kapasiti tangki bahan api 8.1 liter
- Transmisi V-matic
- Panjang 1,950 mm lebar 760 mm tinggi 1,195 mm
- Jarak roda 1,325 mm
- Jarak kelegaan bumi 165 mm
- Ketinggian pelana 780 mm
- Saiz tayar hadapan 110/80-14M/C 53P
- Saiz tayar belakang 130/70-13M/C 57P
- Brek hadapan cakera hidraulik ABS
- Brek belakang cakera hidraulik
- Berat 137 kg
- Pengilang Thai Honda Co. Ltd. Thailand



































