
Hanya disebabkan unsur dan elemen rekaan bersayap pada logo syarikat automotif, Aston Martin mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah syarikat automotif China, iaitu Geely.
Ironinya, Geely itu sendiri memegang 17 peratus saham di dalam Aston Martin.
Tindakan undang-undang itu diambil disebabkan oleh logo berinspirasikan sayap yang digunakan pada syarikat subsidiari teksi London milik Geely (London EV Company) yang mirip kepada logo sayap ikonik Aston Martin.
Menurut laporan The Telegraph, isu pertikaian ini sudah bermula sejak 2002 apabila Geely cuba untuk mendaftarkan logo tersebut di UK.
Namun, bantahan dibuat oleh Aston Martin pada tahun 2023 yang mendakwa reka bentuk itu melanggar tanda dagang berusia hampir satu abad pengeluar itu.
Aston Martin kalah dalam pertikaian tersebut dan perlu membayar kos guaman £2,200 (RM11,768) kepada Geely.
Ini kerana Tribunal Pejabat Harta Intelek UK memutuskan bahawa pengguna tidak mungkin tersilap antara teksi elektrik London dengan kereta sports Aston Martin.
Menariknya, setahun kemudian Geely membuat keputusan untuk membeli 17 peratus pegangan dalam Aston Martin bernilai £234 juta (RM1.25 bilion) menjadikannya antara pemegang saham terbesar syarikat tersebut.
Walaupun kini berkongsi hubungan pemilikan, Aston Martin tetap meneruskan rayuan ke Mahkamah Rayuan UK untuk menghalang pendaftaran logo tersebut sekali lagi.
Aston Martin menjelaskan perlindungan harta intelek adalah keutamaan dan enggan mengulas lanjut. Geely pula menegaskan bahawa ini hanyalah pertikaian tanda dagang biasa, dan mereka masih komited mengekalkan hubungan profesional dengan Aston Martin.

































