Utama Berita Automotif Honda bekalkan unit kuasa Aston Martin Aramco F1, teruskan semangat hadapi cabaran!

Honda bekalkan unit kuasa Aston Martin Aramco F1, teruskan semangat hadapi cabaran!

7

Honda mengadakan satu acara khas di Tokyo bagi melancarkan kerjasama rasmi dengan Aston Martin Aramco Formula One Team untuk pembangunan unit kuasa (PU) menjelang Kejuaraan Dunia FIA Formula Satu 2026

Pelancaran ini menandakan permulaan hubungan teknikal penuh antara kedua-dua pihak, dengan pembangunan PU dan casis dilaksanakan sebagai satu pakej menyeluruh.

Acara itu turut menampilkan ucapan daripada Toshihiro Mibe selaku Global CEO Honda, Stefano Domenicali selaku Presiden dan CEO Formula 1, serta Lawrence Stroll selaku Pengerusi Eksekutif Aston Martin Aramco Formula One Team.

Mewarisi Semangat Soichiro Honda

Mibe membuka ucapan dengan mengimbas penglibatan Honda dalam F1 sejak 1964 ketika syarikat baru sahaja memulakan jualan kereta.

Dengan usaha berterusan mengatasi pelbagai halangan, Honda meraih kemenangan sulung pada Grand Prix Mexico 1965.

Penglibatan itu kemudian berkembang menjadi satu era gemilang pada pertengahan 1980-an hingga awal 1990-an bersama Williams dan McLaren.

Dalam era terkini, Honda turut mencipta detik penting termasuk menjuarai gelaran dunia pemandu bersama Red Bull Racing.

Menurut Mibe, F1 melambangkan semangat pengasas Honda, Soichiro Honda, yang menuntut jurutera sentiasa mengejar kedudukan tertinggi dan berani menghadapi cabaran paling sukar.

Nilai tersebut terus menjadi asas pendekatan pembangunan Honda sehingga ke hari ini.

Mibe turut menjelaskan bahawa musim 2026 bakal mengubah landskap F2 melalui peraturan baharu yang melibatkan casis dan PU.

Kuasa elektrifikasi akan meningkat hampir tiga kali ganda, sementara bahan api lestari diwajibkan.

Dengan had kos yang ketat, Honda Racing Corporation membangunkan PU RA626H sebagai asas utama untuk era baharu ini.

Honda berhasrat untuk mencapai kedudukan terbaik bersama Aston Martin Aramco Formula One Team.
 
Jentera yang menggunakan RA626H akan membawa logo H baharu sebagai simbol perubahan dalam perniagaan automotif Honda.
 

Logo ini juga akan digunakan pada jentera perlumbaan lain seperti IndyCar, Super GT, Super Formula dan Super Taikyu.

Honda turut merancang untuk membawa teknologi daripada F1 kepada model produksi, termasuk model produksi yang dibangunkan berasaskan konsep Civic Type R HRC.

Usaha ini bertujuan memberikan pengalaman pemanduan yang lebih menarik kepada pelanggan dan memastikan pengetahuan yang dikumpulkan dalam perlumbaan kembali dimanfaatkan dalam pembangunan kereta jalan raya.

Dalam ucapannya, Mibe turut menerangkan penggunaan teknologi F1 seperti pembakaran berkecekapan tinggi, pengurusan haba, motor beroutput tinggi, turbo berputaran pantas dan teknologi bahan api lestari.

Teknologi ini kini digunakan dalam pembangunan model hibrid, kenderaan elektrik, enjin pesawat serta sistem mobiliti udara seperti eVTOL.

Teknologi bahan api lestari itu juga sedang digunakan dalam pembangunan bahan api penerbangan lestari.

Stefano Domenicali: F1 Berkembang Dengan Lebih 820 Juta Peminat

Domenicali menyifatkan pengumuman ini sebagai detik penting bagi F1.

Beliau mengingatkan bahawa F1 mula berlumba di Jepun pada 1976 sebelum beralih ke Suzuka pada 1987, menjadikan negara itu lokasi bersejarah dalam sukan tersebut.

Kini terdapat hampir 17 juta peminat F1 di Jepun. Grand Prix Suzuka tahun lalu menarik 266,000 penonton sepanjang hujung minggu dan mencatat peningkatan tontonan televisyen sebanyak 26 peratus.

Beliau turut menjelaskan bahawa F1 terus berkembang dengan jumlah peminat global mencecah 827 juta.

Strategi untuk mendekati peminat melalui saluran baharu seperti hiburan, budaya, muzik dan kandungan digital turut meningkatkan daya tarikan.

Perkembangan ini menjadikan F1 platform yang semakin kukuh dari segi komersial.

Peraturan baharu 2026 menjadi salah satu faktor utama yang menarik minat Honda untuk kembali.

Sistem hibrid yang lebih ringkas serta penggunaan bahan api lestari akan menjadi tonggak kepada pembangunan PU masa depan.

Domenicali turut mengesahkan bahawa F1 berada pada landasan untuk mencapai sasaran pelepasan sifar menjelang 2030 selepas berjaya mengurangkan 26 peratus pelepasan karbon berbanding 2018.

Lawrence Stroll: Aston Martin Aramco Formula One Team dan Honda Berkongsi Nilai yang Sama

Dalam ucapannya, Lawrence Stroll menegaskan bahawa Aston Martin Aramco Formula One Team dan Honda berkongsi nilai yang sama dalam usaha mencapai kejayaan bermula musim 2026.

Beliau menerangkan bahawa Aston Martin Technology Centre di Silverstone kini siap sepenuhnya dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh operasi pasukan.

Terowong angin baharu terbukti aset penting untuk pembangunan, manakala pusat data baharu sedang dibina untuk terus memperkukuh keupayaan pasukan.

Stroll menekankan bahawa kerjasama bersama Honda bermula dengan pembangunan casis dan PU secara serentak sebagai satu pakej.
 

Pendekatan ini penting untuk membantu pasukan bersaing merebut kejuaraan.

Pasukan turut mendapat sokongan Aramco untuk bahan api lestari dan Valvoline untuk pelincir.

Kerjasama rapat antara Aston Martin Aramco Formula One Team di United Kingdom dan HRC Sakura di Jepun kini semakin kukuh.
 

Para pemandu pasukan turut menunjukkan keyakinan tinggi terhadap PU Honda.

Selain itu, pelantikan Andy Cowell sebagai Ketua Strategi turut memperlihatkan komitmen untuk mengukuhkan perancangan jangka panjang.

Beliau pernah menjadi Pengarah Urusan Mercedes AMG High Performance Powertrains, yang mengetuai pembangunan enjin hibrid V6 yang membantu pasukan Mercedes memenangi kejuaraan berturut‑turut di antara 2014 dan 2020.

Cowell kemudian meninggalkan Mercedes pada 2020 dan beberapa tahun kemudian menyertai Aston Martin, pada mulanya sebagai CEO dan kemudian Prinsipal Pasukan sebelum beralih kepada peranan Ketua Strategi menjelang musim 2026.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here