Utama Berita Automotif Kerajaan kekal subsidi bahan api, bukti kebajikan rakyat jadi keutamaan

Kerajaan kekal subsidi bahan api, bukti kebajikan rakyat jadi keutamaan

7
Gambar hiasan. Foto : Bernama

Komitmen kerajaan untuk terus menanggung kos subsidi bahan api dilihat mampu membantu rakyat dan mengekang tekanan inflasi, sekali gus menjadi perisai utama negara dalam menghadapi impak krisis bekalan global.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr T. Saravanan berkata pihaknya menyambut baik inisiatif Kerajaan MADANI itu kerana ia memberikan keyakinan kepada pengguna bahawa kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan negara.

Beliau berkata pengekalan harga minyak pada kadar semasa amat membantu dalam pengurangan tekanan kos pengangkutan dan logistik, selain menjadi komponen utama dalam rantaian bekalan bagi mengelakkan kenaikan harga barangan keperluan harian.

“Namun, FOMCA berpandangan bahawa harga bahan api bukan satu-satunya faktor yang menentukan harga barang.

“Pengguna masih berdepan dengan cabaran daripada kos makanan, sewaan premis, tenaga, upah dan pelbagai kos operasi lain yang turut mempengaruhi harga di pasaran. Bagaimanapun, mengekalkan harga RON95 boleh bertindak sebagai penampan kepada inflasi,” katanya. 

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Mohd Shukor Harun berpandangan komitmen kerajaan itu ialah satu tindakan yang bertanggungjawab, terutama bagi mengurangkan beban kewangan golongan B40 dan M40.

“Namun, dari sudut dasar awam, mekanisme subsidi pukal sedia ada bersifat regresif kerana turut dinikmati oleh golongan kaya.

“Sekiranya subsidi ini dikekalkan ketika harga minyak mentah dunia melonjak, defisit fiskal negara akan melebar dan perbelanjaan ini akan memakan ruang peruntukan yang sepatutnya disalurkan untuk sektor pembangunan, pendidikan, dan kesihatan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan strategi jangka panjang yang lebih lestari bagi memastikan bantuan berterusan kepada rakyat dalam mendepani tekanan ekonomi global, antaranya pelaksanaan subsidi bersasar secara progresif.

Bagi penghantar makanan, Umair Al-Anshaari Rusli, 24, berkata langkah kerajaan mengekalkan subsidi tersebut amat membantunya yang bergantung sepenuhnya pada kenderaan untuk mencari rezeki harian.

“Subsidi bahan api ini penting kerana ia dapat mengawal kenaikan harga barang dan kos pengangkutan kerana kami sangat bergantung dengan motosikal atau kereta untuk mencari rezeki,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata beliau tidak bersetuju dengan langkah menaikkan harga minyak ketika negara berdepan dengan krisis bekalan global dan menegaskan bahawa kerajaan akan terus berusaha menanggung kos subsidi bahan api dengan mengeluarkan perbelanjaan besar setiap bulan bagi mengelakkan rakyat terbeban.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here